KUCHING: Sumber Polis Sarawak hari ini menafikan sebaran di laman sosial yang menyebut tiga lelaki dipercayai daripada kumpulan pengganas Daesh sedang diburu di negeri ini.

Ketika dihubungi Suara Sarawak, sumber tersebut berkata, ia perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba menakut-nakutkan penduduk di negeri ini.

“Kita juga percaya ia berniat jahat sebagai cubaan untuk melaga-lagakan penduduk Islam dan bukan Islam di Sarawak,”katanya lagi.

Dalam mesej menerusi aplikasi WhatsApp yang tular sejak semalam, tiga gambar lelaki tersebut disebar, dengan menyebut mereka diburu setelah berjaya melolos masuk ke negeri ini.

Tulis mesej itu lagi: “Mereka didakwa ingin membuat serangan bom terhadap gereja dan disyaki telah berada di Sibu dan Bintulu.

“Tolong sebarkan kepada rakan-rakan Kristian kita dan kita harus teruskan berdoa agar rencana jahat mereka dipatahkan oleh kuasa YAHWEH kita.”

Menurut sumber polis itu lagi, wajah ketiga-tiga individu yang disebarkan dalam mesej itu sebenarnya ialah Syazani Mahzan,21; Muhamad Nuurul Amin Azizan,27, (kedua-duanya rakyat Malaysia dari Bedong, Kedah); dan rakyat Indonesia, Fatir Tir yang kini diburu kerana cubaan untuk melakukan balas dendam terhadap kematian angota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dalam tragedi rusuhan kuil Sri Maha Mariamman di Seafield, Subang Jaya.

Selain tiga yang diburu itu, empat rakan mereka iaitu seorang rakyat tempatan, dua Rohingya dan seorang Indonesia telah berjaya ditahan dalam operasi khas di Terengganu dan Lembah Klang antara 5 hingga 7 Mei lalu, dan mereka mengaku menganggotai sel pengganas Daesh.

Turut dirampas daripada mereka seperti yang diumumkan Ketua Polis Negara, Datuk Abdul Hamid Bador ialah sepucuk pistol 9mm buatan Czech dan 15 butir peluru; enam bom paip atau alat letupan reka ganti (IED) berukuran 18cm.

Justeru kata sumber itu lagi, orang ramai tidak perlu takut dan khuatir akan penularan maklumat palsu tersebut, kerana jelas mereka salin dan tampal pada mesej berangkai terbabit.

“Ketika ini keadaan di Sarawak adalah terkawal,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit mengesahkan berita itu palsu dan mengingatkan penduduk di kawasan itu agar tidak panik.