SIBU: Kumpulan muzik tradisional kontemporari Etnik Revolution (ER) akan melancarkan muzik video single pertama mereka berjudul Cai Cer Ruai bertempat di Mak Borneo Smokehouse (De’ Vulture Cafe) di Sibu pada 24 Mei ini pada jam 7 malam.

Jurucakap kumpulan semalam, muzik video itu berdurasi selama 4 minit 59 saat dihasilkan dengan sentuhan berteknologi tinggi oleh seorang pakar yang sangat dikenali Braden Tiong dari Tempting Heart Of Borneo Studio.

“Penggambaran dijalankan pada 20 April lepas di dua lokasi iaitu di Pasai Siong Ili dan Bawang Assan di Sibu.

“Kami dalam penggambaran ini memilih lokasi hutan meliputi alam semula jadi sesuai dengan tema muzik kami iaitu Feel The Rhythm Of Rainforest Music,” jelasnya lagi.

Kenyataan itu memberitahu, Cai Cer Ruai ini mengisahkan tentang lagu siulan bagi budak-budak Dayak ketika di rumah panjang pada masa dahulu yang kini kian dilupakan.

“Itulah keunikan ER yang memilih lagu tersebut sebagai bahan pertama untuk dibuat muzik video bagi kami mempelbagaikan rentak muzik yang lebih kepada muzik tradisional kontemporari,” katanya.

Justeru, ia menjemput semua masyarakat setempat untuk datang beramai-ramai pada majlis pelancaran bagi memberikan sokongan kepada mereka dalam mengangkat muzik tradisional kontemporari.

“Jangan lepaskan peluang bersama-sama kami pada malam itu kerana kami ada membuat persembahan lebih-lebih lagi untuk menghangatkan bahang sambutan Gawai Dayak dengan petikan sape dan sebagainya,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, ER pernah mengungguli Borneo Talent Awards (BTA) pada 2013 di Sibu, menjuarai Waterfront Music Fest 2018 (Kuching) dan pernah diundang membuat persembahan di Xiamen, Fuzhou di China pada 2012 sempena Program Delegasi Pertukaran Budaya Malaysia-China.

ER ditubuh pada November 2011 menampilkan tiga adik-beradik Robin Albert Bennet selaku pemain Sape/Seruling, Hendry Albert Bennet (gitar bass) dan Harriecthmond Albert Bennet (gitar akustik).

Selain itu, anggota lain ialah Wat Ngelai Juan (Cajon/Dram Floor Tom), Peter (Vokalis) dan Watt Zack (Media and Rainforest Sound Effect). Sebarang pertanyaan lanjut diminta menghubungi Peter Aaron di talian 019-8486968 atau Lau (019-8161166).