BELADIN: Media sosial bukan saluran tepat meluah rasa tidak puas hati terhadap pemimpin, kata Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Katanya, dia terbuka untuk menerima kritikan jika ada, dengan cara bersemuka berbanding dilontarkan melalui saluran yang kurang tepat.

“Secara peribadi saya mengakui teknologi seperti media sosial memudahkan perhubungan dan proses penyampaian maklumat dengan cepat walaupun ketepatannya sering diragui.

“Saya sedikit terkilan apabila ada cakap-cakap yang sampai ke telinga saya mengatakan ‘Rohani pembulak’ berjanji tentang jambatan. Lebih-lebih lagi ia diungkap bekas pemimpin akar umbi sendiri,” katanya.

Beliau bercakap demikian pada Majlis Bersungkei Kasih Ramadan bersama Persatuan Ibu Tunggal Beladin yang berlangsung di Dewan al-Amin, malam semalam.

Jelasnya, rakyat perlu faham bagaimana senario politik hari ini, Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Pusat tidak lagi satu perahu.

“Sudah cukup bagus tindakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg meneruskan pembinaan beberapa jambatan di negeri ini sebaik Pakatan Harapan (PH) mengambil keputusan tidak mahu meneruskan pembinaannya dengan alasan kewangan.

“Justeru, saya yakin Ahli Parlimen atau Adun Gabungan Parti Sarawak (GPS) berusaha membawa sebanyak mungkin pembangunan demi kesejahteraan rakyat.

“Sebab itu kalau ada kritikan, cadangan, sila bersemuka. Insha-Allah kalau saya ada di kawasan, kita boleh duduk bersama-sama kerana sebagai seorang pemimpin saya harus mengambil berat tentang apa jua perkara yang dibangkitkan.

“Tapi, apabila saya ada turun ke kawasan… batang hidung tiada. Bagi saya, tidak begitu molek rasa tidak puas hati dilontar melalui Facebook, Instagrams, WhatsApp atau sebagainya,” ujar Rohani.

Beliau dalam pada itu mengharapkan rakyat supaya bijak menilai prestasi seseorang wakil rakyat di kawasan masing-masing.

“Jangan hanya memandang kekerapan wakil rakyat turun ke lapangan tetapi nilailah bagaimana impak program dilaksanakan, lihat juga bagaimana perkhidmatan berjaya diberikan, berapa banyak projek diimplementasikan.

“Begitu juga soal peruntukan, kami Ahli Parlimen seumpama emak atau bapa kepada kawasan Dun. Kalau ada tiga Dun di bawah satu parlimen, maka apa jua peruntukan harus dibahagi sama rata.

“Tiada pilih kasih dan saya berusaha untuk memberikan yang terbaik untuk semua demi membangunkan kawasan bersama rakyat,” jelasnya.

Ketika meluangkan masa bersama-sama 60 ibu tunggal hadir, Rohani sempat menghulurkan sedikit sumbangan Ramadan untuk berkongsi kenikmatan.

Hadir sama Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Beladin Suhanda Sari serta ketua kampung.