GENEVA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa netizen supaya lebih bertanggungjawab di media sosial susulan insiden bunuh diri seorang remaja yang mendapat undian 69 peratus dalam Instagramnya.

Memandang serius perkara itu, Dr Wan Azizah menyifatkan insiden tersebut yang berlaku di Sarawak sebagai satu tragedi.

“Menyedihkan anak muda ini yang telah mengambil nyawanya dipengaruhi oleh media sosial yang tidak bertanggungjawab. Saya rasa netizen mestilah bertanggungjawab juga..mengundi..ini bukan (perkara) main-main,” katanya kepada Bernama dan RTM dalam sidang media di sini.

Beliau juga mengambil maklum kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bahawa seseorang itu boleh dijatuhkan hukuman jika didapati bersalah menyubahati perlakuan membunuh diri.

MCMC dalam kenyataannya semalam berkata di bawah Seksyen 305 Kanun Keseksaan adalah menjadi kesalahan untuk menyubahati perlakuan kesalahan membunuh diri oleh orang berumur kurang daripada 18 tahun.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara 20 tahun dan dikenakan denda.

Sementara itu, beliau juga berkata masalah kesihatan mental, terutamanya dalam kalangan remaja, perlu dilihat secara meluas dan memerlukan kerjasama bersepadu antara semua kementerian dan agensi terlibat.

“Pada anak muda yang lain yang berputus asa, mereka memerlukan kaunseling. Kementerian Kesihatan, MCMC, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pendidikan. Semua agensi perlu dilibatkan. Semua perkara ini, perlu semua agensi terlibat. Inilah masa depan negara kita,” katanya.