KUCHING: Sebanyak 38 organsisasi menerima geran projek kecil luar bandar (MRP) bernilai RM461,500 disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing di sini, semalam.

Geran yang disalurkan itu adalah di bawah fasa kedua MPR tahun ini dan antara penerima adalah rumah panjang menerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), organisasi bukan kerajaan (MGO), kelab sukan dan pelbagai persatuan seluruh Sarawak.

James Masing juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan dan Adun Baleh pada minggu lepas, menyampaikan geran yang serupa di bawah fasa sama kepada 24 organisasi di Kapit bernilai keseluruhan RM350,000.

Penyampaian geran MRP tersebut setakat ini menyaksikan 62 penerima melibatkan geran bernilai RM812,100 di bawah fasa keduanya pada tahun 2019.

Hadir semasa majlis penyampaian geran MPR itu adalah Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Datuk Seri Doris Sophia Brodie.