KUCHING: Sebanyak 50,000 sehingga 70,000 pengunjung melawat ke Taman Negara Bako menggunakan perkhidmatan bot menerusi Terminal Penumpang Taman Negara Bako sepanjang 2018.

Penolong Pengawal Wilayah Selatan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) Julaihi Shahmad berkata, jumlah pelancong luar negara semakin meningkat terutama bulan April sehingga bulan September setiap tahun.

“Peningkatan ini juga dapat kita dilihat terutama ketika cuti perayaan pada April melibatkan sebanyak 70 bot berdaftar di Taman Negara Bako,” kata dihubungi Suara Sarawak.

Katanya, LSS menitikberatkan aspek keselamatan melalui pemantauan ke setiap bot supaya mematuhi setiap piawaian keselamatan.

“Kami juga melakukan sekatan sungai pada bulan lalu selama dua hari melibatkan 50 bot dan melakukan pemantauan selain tindakan penguatkuasaan lebih kerap.

“Apabila pengusaha bot dapat mematuhi setiap piawaian ini, segala kebarangkalian melibatkan kemalangan dapat kita elak.

“Penumpang kebiasaannya mesti memakai jaket keselamatan sepanjang berada di atas bot, jadi mana-mana pemilik bot tidak menyediakan jaket keselamatan akan diambil tindakan,” ujarnya.

Julaihi menjelaskan, setiap bot beroperasi harus memiliki permit dan insurans.

Beliau menambah, LSS berusaha untuk melaksanakan perkhidmaan lebih sistematik dengan menaik taraf Terminal Penumpang Taman Negara Bako.

“Naik taraf ini akan memberi kemudahan kepada penumpang termasuk menyediakan kantin dan sebagainya,” tegas Julaihi.