DEBAK: Amalan bersedekah dalam kalangan masyarakat di Saribas yang masih subur mewujudkan semangat penyatuan serta nilai perpaduan yang utuh.

ADUN Saribas Mohammad Razi Sitam memberitahu, salah satu budaya masyarakat yang menggalakkan amalan bersedekah ialah ‘ringgo’ (kenduri).

“Alhamdulillah di bulan mulia ini kita digalakkan untuk memperbanyakan amalan bersedekah.

“Secara sedar atau tidak, budaya seperti ringgo telah menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita dengan tujuan sedekah atau berkongsi rezeki, dan ini menunjukan amalan bersedekah masih begitu subur.

“Saya mengharapkan banyak budaya masyarakat yang mendorong ke arah kebaikan dapat diteruskan dari masa ke masa,” katanya.

TETAMU … Sebahagian ahli-ahli JKP masjid dan surau yang hadir pada majlis tersebut.

Beliau bercakap demikian ketika merasmikan Ziarah Mahabah Ramadan di Masjid Darul Solihin, semalam.

Razi melalui peruntukan di bawah Projek Kecil Luar Bandar (MRP) DUN Saribas mengagihkan sejumlah RM133,000 kepada 35 masjid dan surau.

Ia merangkumi 14 masjid yang masing-masing menerima sumbangan RM5,000, manakala selebihnya kepada surau dengan setiap satunya menerima RM3,000.

Pada majlis yang sama, 65 masjid dan surau turut menerima sumbangan Majlis Islam Sarawak (MIS), masing-masing bernilai RM1,000.

Beliau mengharapkan dana tersebut mampu memberi manfaat kepada pengukuhan perpaduan umat Islam di peringkat akar umbi.

Razi dalam masa yang sama menyeru agar jawatankuasa pengurusan (JKP) masjid dan surau untuk memanfaatkan kemuliaan Ramadan dan menjadikan rumah Allah SWT sebagai medium penyatuan umat Islam.

“Peranan ahli-ahli JKP masjid dan surau amat penting. Maka, rancang dan laksanakan program dan aktiviti yang bersesuaian bagi mengimarahkan masjid dan surau sepanjang bulan Ramadan ini.

“Misalnya program dan aktiviti yang bersifat ke arah menyatupadukan dan memperkukuhkan perpaduan seluruh umat Islam di peringkat akar umbi,” ujarnya.

UNTUK ALBUM … Razi serta tetamu lain bergambar kenangan bersama pada Majlis Ziarah Mahabah Ramadan di Masjid Darul Solihin, semalam.