BINTULU: Kepelbagaian serta kekayaan adat serta budaya masyarakat Dayak wajar mendapat liputan di saluran media arus perdana.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata dengan adanya liputan arus media perdana khususnya di bawah naungan Malaysia Baharu, generasi muda dapat didedahkan dengan kekayaan dan kehalusan seni budaya serta adat masyarakat Malaysia.

Tegasnya, budaya, adat dan kesenian semua  kaum harus dilestarikan sebagai salah satu warisan negara.

Justeru, katanya, beliau menyokong penuh agar program perayaan Gawai Dayak di angkat dan dimartabatkan selain mendapat liputan meluas saluran media arus perdana.

Gobind dalam pada itu berkata usaha memelihara budaya dan warisan masyarakat yang wujud di negara bukan hanya terletak di bahu pihak kerajaan semata-mata, sebaliknya, masyarakat perlu memainkan peranan aktif dalam memastikan ia ‘tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’.

Ahli Parlimen Puchong itu berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu, di sini.

Anggaran 500 orang menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang turut diselitlan dengan aktiviti perarakan kontigen ‘Ngerandang Jalai Gawai, persembahan kebudayaan dan kesenian etnik Dayak.

Terdahulu, beliau bersama- sama Ahli Parlimen Saratok Ali Biju, Ahli Dewan Negara Alan Ling, ADUN Tanjung Batu Chiew Chiu Sing, ADUN Pujut Dr Ting Tiong Choon, pengerusi DAP Samalaju Dr John Brian Anthony dan kenamaan lain menyertai perarakan kontigen ‘Ngerandang Jalai Gawai’ yang bermula dari tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu mengelilingi pusat bandar.

Kontigen ‘Ngerandang Jalai Gawai’ terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan(NGO), persatuan dan Kelab kebudayaan dan kesenian Dayak dan sebagainya.