SIBU: Berpantang maut sebelum ajal apabila seorang lelaki sempat menyelamatkan diri meskipun kenderaan yang dipandunya terputus dua.

Kejadian berlaku apabila mangsa terlibat dengan kemalangan kendiri di Jalan Ling Kai Cheng di Sibu awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata, mangsa dikenali sebagai Mohamad Sany Yusop, 40, hanya mengalami kecederaan.

“Kita menerima laporan pada pukul 1.27 pagi apabila mendapati kenderaan dipandu oleh mangsa terlibat dalam kemalangan kendiri.

“Kemalangan dipercayai berlaku ketika kenderaan jenis Nissan Sunny yang dipandu melalui kawasan tersebut hilang kawalan lalu melanggar penghadang jalan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tambah Ling Hii, kesan kemalangan tersebut mengakibatkan kenderaan yang dinaiki mangsa terputus dua.

“Bagaimanapun, mangsa berjaya dikeluarkan sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian.

“Mangsa yang cedera seterusnya diserahkan kepada pihak perubatan untuk tindakan lanjut,” ujarnya.