TANJUNG MANIS: Projek penanaman buah nanas secara komersial di zon halal hab Tanjung Manis menyerlahkan potensi kawasan ini sebagai pengeluar nanas berkualiti tinggi di kawasan tengah Sarawak.

Kejayaan syarikat Saramanis Sdn Bhd sebagai pelopor projek itu membuktikan tanaman nanas di Tanjung Manis bukan hanya boleh dikembangkan tetapi juga berupaya menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Pengurus Tapak, Jeremy Paran Labang berkata, langkah proaktif itu juga sebagai menyahut seruan kerajaan mentransformasikan pertanian kepada sektor moden, berdaya saing di samping mampu menjana pendapatan lumayan.

“Secara tidak langsung kita membantu memperkukuhkan ekonomi negeri, selain berganding bahu bersama kerajaan untuk membangunkan taraf hidup rakyat, terutama usahawan tani.

“Kita menanam beberapa spesis yang mendapat permintaan tinggi di pasaran antaranya, paun, MD2, Josapine dan N36. Setakat ini, kita tidak menghadapi banyak masalah malah proses pembesaran tanaman juga cukup baik,” katanya.

Len Talif dan rombongan mengadakan lawatan ke tapak ladang nanas Saramanis Sdn Bhd – Kredit Foto : Lembah Rajang.

Jeremy juga memberitahu, syarikat tersebut bercadang untuk menceburi industri hiliran melalui penyertaan penduduk setempat.

“Ini merupakan sebahagian inisiatif kita untuk mengkomersial dan memodenkan sektor pertanian dengan memanfaatkan teknologi terkini,” katanya.

Menyentuh mengenai pasaran pula, Jeremi menjelaskan, pihaknya tidak menghadapi banyak kekangan kerana buah itu mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan mahupun luar negara.

Pada masa yang sama, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh mengadakan lawatan ke tapak ladang seluas 36 hektar yang terletak kira-kira lima kilometer dari pusat bandar Tanjung Manis itu.

Rombongan itu turut disertai pemimpin masyarakat termasuk tuai rumah dari Stalon, Sebayang, Tusok dan Semalau.

Terdahulu, Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.41 Kuala Rajang berkesempatan menyampaikan sumbangan derma Pusaka dan anak-anak Pusaka kepada tuai rumah sempena Sambutan Gawai Dayak, di Pusat Khidmat N.41 Kuala Rajang di Tanjung Manis.

Hadir sama, Pengurus Besar Pusaka, Hashim Bojet.

Rombongan mendapat penerangan tentang projek. – Kredit Foto : Lembah Rajang

 

Len Talif bersama tuai rumah menunjukkan isyarat bagus. – Kredit Foto : Lembah Rajang