BINTULU: Nelayan yang dilaporkan hilang semasa ke laut untuk menangkap ikan sejak Isnin lalu ditemui selamat di Kuala Sibuti, awal pagi ini.

Aziz Ja’afar, 69, dari Kampung Jepak Hilir, di sini ditemui oleh sekumpulan nelayan dari Kuala Sibuti, pada  jam 8. 15 pagi ini, kira – kira 65 batu nautika dari perairan Bintulu.

Timbalan Pengarah Zon(Operasi) Zon Maritim Bintulu Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil dalam sidang media berkata mangsa ditemui komuniti nelayan Kuala Sebuti yang turut serta dalam usaha pencarian mangsa.

Beliau berkata siasatan awal mendapati bot yang dinaiki mangsa mengalami kerosakan pada bahagian enjin dan telah dihanyutkan kira-kira 55 batu nautika daripada posisi terakhir mangsa dilaporkan hilang pada Isnin lalu.

Mangsa, kemudiannya, dibawa ke Jeti Polis Marin Bintulu di Kampung Jepak oleh anggota Penguatkuasa Maritim Malaysia Zon Miri bagi tindakan susulan sebelum diserahkan kepada keluarga.

Susulan daripada penemuan mangsa, katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR)ditamatkan pada jam 9 pagi tadi.

Effendy, dalam pada itu, menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada agensi yang terlibat dalam SAR itu yang terdiri daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan seluruh komuniti maritim di sekitar Bintulu termasuk Miri.

Beliau turut menasihati komuniti Maritim terutama di Bintulu supaya mengutamakan keselamatan semasa berada di laut dengan sentiasa memakai jaket keselamatan memandangkan keadaan cuaca di laut yang kurang baik.

Pada petang Jumaat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Bintulu dalam kenyataan menyatakan Aziz berjaya menghubungi keluarganya bahawa beliau berada di Muara Tatau serta memaklumkan keluarganya mengenai enjin botnya mengalami kerosakan.

Mangsa turut memaklumkan terpaksa mendayung botnya akibat kerosakan enjin tersebut.

Kehilangan mangsa dilaporkan anak kandungnya, Noorkamisah Aziz  di Pusat Sehenti Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu pada jam 3.18 petang, Rabu yang memaklumkan ayahnya keluar rumah pada malam Isnin, lebih kurang pukul 7.30 malam untuk memacing ke laut di kawasan Kuala Batang Kemena berhadapan Hotel ParkCity Everly, di sini.

Mangsa dilaporkan keluar ke laut berseorangan menaiki perahu berukuran 25′ x 4′ dengan enjin 30hp yang mana cuaca pada masa itu hujan.