KUCHING: Sebanyak RM61.4 juta bantuan telah diagihkan oleh Tabung Baitulmal  Sarawak (TBS) kepada golongan yang berhak dan memerlukan pada tahun 2018.

Pengurus Besar TBS Datuk Haji Abang Mohd Shibli Haji Abang Mohd Nailie berkata ia merupakan satu tanggungjawab yang utama sebagai sebuah institusi terpenting Islam dalam menguruskan amanah yang telah diberikan mengikut lunas Islam yang betul.

“Pihak TBS diamanahkan untuk mengumpulkan zakat dan mengagihkan ia kepada pihak yang memerlukan dan berhak.

“Pihak kami juga sentiasa berhadapan dengan Ketua Audit Negara, terutama sebelum Ketua Audit Negara tersebut menandatangani sama ada perakuanan TBS itu betul dan sempurna.” katanya berucap dalam Majlis Iftar Baitulmal Bersama Asnaf (BBA) di Dewan Majma’ Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah hari ini.

Tambahnya lagi, bantuan yang telah diagihkan pada tahun 2018 tersebut telah disalurkan melalui tiga jenis program utama iaitu Program Mengukuhkan Tradisi Keilmuan, Program Membangunkan Institusi Islam dan Program Memantapkan Kebajikan Ummah.

Pada tahun ini, sehingga 30 April turut dijalankan program yang sama katanya, melalui itu pihak TBS  telah mengagihkan sejumlah RM20.7 juta bantuan kepada pihak atau golongan yang memerlukan.

“TBS amat prihatin dalam memastikan golongan yang berhak dapat dibantu bagi melepaskan diri mereka daripada kesempitan hidup yang dihadapi.

“TBS juga sentiasa mengharapkan agar masyarakat Islam dapat menyokong peranan kami dengan menunaikan kefardhuan berzakat, di samping bermatlamat memberi kesejahteraan kepada masyarakat Islam yang ada di Sarawak,” ujarnya

Selain itu, Abang Shibli turut menyampaikan Bantuan Aidil Fitri kepada 120 orang asnaf iaitu penerima bantuan Sara Hidup dan 616 orang pelajar Tahfiz yang diwakili oleh 20 mudir yang mewakili pusat tahfiz masing-masing.

Dalam perkembangan yang sama, TBS turut menerima pembayaran Zakat Perniagaan berjumlah RM183,808.00 daripada Syarikat Celcom Axiata yang diwakili Ketua Kualiti Rangkaian Sarawak, Ibrahim Kushairi.

Turut hadir ialah Timbalan Pengurus Besar TBS Bolhassan Iskandar Taibi, Ketua Sektor Kewangan dan Pentadbiran Haji Sulaiman Hj. Mahill, Ketua Sektor Pembangunan Haji Abang Faisal Hi. Abg. Marzuki,

Pegawai-pegawai Celcom Axiata serta pegawai-pegawai Tabung Baitulmal Sarawak.