HARI Guru di Malaysia disambut pada 16 Mei setiap tahun sebagai penghargaan kepada para guru.

Tarikh ini dipilih sebagai Hari Guru bagi memperingati peristiwa berlaku 16 Mei 1956 iaitu Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu menerima cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran sebagai dasar pelajaran bagi negara Malaysia.

Dokumen tersebut dikenali sebagai Laporan Razak menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.

Sesungguhnya, guru nadi penggerak utama yang sentiasa berkorban tenaga dan masa melahirkan insan berilmu mempunyai jati diri beridentitikan Malaysia.

Oleh itu, walau siapa pun kita pada hari ini, ingatlah jasa, pengorbanan dan perjuangan guru mendidik kita sehingga menjadi insan berjaya.

Pada tahun ini, sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-48 berlangsung di Pulau Pinang dan disempurnakan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bertemakan ‘Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi’, tema ini diilhamkan daripada sajak Obor Hemah hasil karya Sasterawan Negara Datuk A Samad Said untuk meningkatkan martabat guru sebagai agen penting dalam memperteguh peradaban bangsa melalui pendidikan.

Guru memberi sumbangan sangat besar kepada kejayaan kita pada hari ini.

Dalam ucapannya, Tun Dr Mahathir berkata gelaran ‘Obor Hemah’ diberikan kepada guru menggambarkan kemuliaan, keikhlasan, pengorbanan, tanggungjawab, cabaran, peranan dan komitmen dalam profesion keguruan.

“Peradaban bangsa di Malaysia terus mantap hanya apabila guru dapat memastikan generasi dilahirkan ialah generasi holistik cemerlang yang mampu memenuhi keperluan kepesatan pembangunan negara dan keperluan global.

“Dalam konteks ‘Obor Hemah’ batin suci hati nurani seseorang berupaya melahirkan anak didik yang glokal, iaitu berakar nasional dan berakal internasional.

Aspirasi negara terhadap guru pembina negara bangsa dalam menyinari pertiwi menuntut komitmen tinggi daripada semua warga pendidik,” jelasnya.

Dalam konteks ini, guru berperanan sebagai pembentuk masyarakat berilmu, melahirkan masyarakat berkeyakinan tinggi dan mampu bersaing di peringkat global.

Sesungguhnya, guru ialah pengajar, pendidik atau pembimbing yang menyumbang khidmat bakti dalam semua bentuk institusi pendidikan yang menjadi penggerak serta pendukung kepada pembangunan pendidikan negara.

Menteri Pendidikan prihatin terhadap masalah kebajikan guru bagi memastikan guru mengajar dan bekerja dengan gembira dan menyeronokkan.

“Mendidik anak harus dijalankan dengan penuh kasih sayang agar dapat menanam perasaan cinta pada ilmu pengetahuan. KPM berusaha keras mengembalikan tugas hakiki guru, iaitu mendidik dan mengajar. Atas dasar itu, kita mengenal pasti punca tugas perkeranian yang mengganggu tugas utama guru, yang tidak lagi relevan, malah perlu dimansuhkan,” jelas Dr Maszlee Malik.

Dalam kepesatan ekonomi milenium ini, elemen kreativiti harus ditekankan sejak di bangku sekolah agar Malaysia dapat melahirkan tenaga kerja berkemahiran untuk berdiri sama tinggi dengan negara maju lain di dunia.

Selaras usaha menyediakan generasi muda dengan cabaran global, kita perlu mengubah pendekatan pendidikan daripada berorientasikan akademik kepada pemu-pukan nilai berbentuk sejagat seperti termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.