MUKAH: “Kebudayaan Mengilham Perpaduan”, itulah tema yang diangkat oleh Persatuan Bahasa Cina SMK St. Patrick Mukah, selaku penganjur utama Karnival Kebudayaan Cina Peringkat Negeri Sarawak pada 24 hingga 26 Mei ini di sebuah pusat peranginan terkenal di bahagian Mukah.

Karnival tersebut juga dianjurkan bersama oleh Pertubuhan Belia Parlimen Mukah, Kelab Tarian Naga Dan Tarian Singa Mukah, Persatuan Tarian Naga, Tarian Singa Dan Wushu Negeri Sarawak.

Membuka tirai karnival tersebut, Pertandingan WuShuakan diadakan pada Sabtu, 25 Mei bermula seawal jam 7.30 pagi sehingga jam 5.00 petang.

Pertandingan Tarian Singa dan Naga pula akan diadakan bermula jam 7.00 petang sehingga 10.00 malam pada hari yang sama.

Pada 26 Mei (Ahad) pula akan diadakan Pertandingan Gendang Cina 24 Perayaan, yang bermula pada jam 12 tengah hari dan dijangka selesai jam 2 petang.

Penyelaras Karnival, Lee Yip Ching ditemui menjelaskan objektif utama karnival tersebut diadakan ialah untuk menanam konsep perpaduan di kalangan pelajar Sarawak melalui aktiviti kebudayaan kaum.

Majlis penutupan rasmi karnival tersebut dijangka akan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Mukah, Datuk Hanifah Hajar Taib pada 26 Mei 2019 jam 4.00 petang.

Semua johan pertandingan akan membuat persembahan pada majlis penutupan rasmi tersebut.

Setakat hari ini, pasukan dari Bahagian Sibu,Sarikei, Kuching, Miri, Bintulu dan tuan rumah, Mukah telah mengesahkan penyertaan mereka.

Karnival ini turut melibatkan seramai lebih 500 orang peserta, jurulatih, guru pengiring dan ibubapa.

Penyelaras Karnival, Lee Yip Ching berharap karnival ini dapat menanam konsep perpaduan di kalangan pelajar Sarawak.