DARO: Kerajaan Sarawak melalui Program Transformasi Luar Bandar (RTP) memperuntukan sebanyak RM320,000 untuk melaksanakan projek bagi memanfaat penduduk tiga buah kampung di sini.

Projek itu ialah, bina baharu tempat letak kereta di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru Daro bernilai RM70,000, naiktaraf jalan dalam Kampung Masjid dan Kampung Panchor yang masing-masing menelan kos sebanyak RM150,000 dan 100,000.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro, Safiee Ahmad berkata, kesemua projek tersebut terletak di bawah pentadbiran daerah Daro.

“Perlaksanaan projek RTP 2019 ini akan dilaksanakan sepenuhnya di bawah penyeliaan pihak Majlis Daerah Matu Daro (MDMD).

“Ini adalah bukti keperihatinan Kerajaan Sarawak dalam usaha menyediakan kemudahan terbaik untuk rakyat. Saya berharap semua projek ini dapat disiapkan mengikut jadual,” katanya ketika mengadakan melawat dan menyaksikan penyerahan tiga tapak projek itu, baru- baru ini.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan agensi pelaksana supaya sentiasa bertindak tegas dalam memantau kerja-kerja yang dijalankan kontraktor.

“Pada masa yang sama, pemimpin masyarakat termasuk ketua kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu memantau supaya perlaksanaan setiap projek berjalan lancar.

“Ia bukan sahaja perlu memastikan segala spesifikasi dipatuhi, tetapi projek disiapkan mengikut jadual. Perkara ini amat penting kerana kesemua projek ini untuk manfaat dan faedah rakyat,” tegasnya.

Beliau memberitahu, Kerajaan Sarawak prihatin dengan keperluan rakyat dengan menyediakan dana yang besar melalui RTP untuk membina dan menaik taraf infrastruktur asas terutama di kampung- kampung.

“Justeru, kita perlu menghargai sumbangan kerajaan ini di samping mempunyai semangat kekitaan dan kepunyaan yang tinggi,” ujarnya.