KUCHING: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) bersama-sama anak syarikatnya menghulurkan sumbangan berjumlah RM289,000 sempena bulan Ramadan.

Sumbangan kewangan terbabit diagihkan kepada 63 badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negeri yang digunakan untuk penganjuran aktiviti masing-masing.

Golongan berkeperluan di Kampung Belawai, Kampung Jerijeh dan Kampung Rajang tidak ketinggalan menerima sumbangan terbabit.

Sumbangan sama diberikan kepada Pusat Khidmat Tanjung Manis untuk meraikan perayaan Hari Gawai.

Sumbangan tahunan ini diadakan sejak tahun 1982 hasil cetusan idea Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud.

STIDC dalam pada itu meraikan anak yatim daripada 13 sekolah rendah dan menengah di bahagian Kuching dan Samarahan dalam satu majlis berbuka puasa.

Majlis berbuka puasa yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam tadi turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Awang Tengah juga Pengerusi Lembaga Pengurusan STIDC turut menyampaikan sumbangan kepada anak yatim terbabit.

Dalam satu kenyataan, Awang Tengah berkata, meskipun sibuk menyambut bulan Ramadan, golongan kurang berkemampuan sentiasa dekat di hati.

Program berbuka puasa terbabit adalah salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) STIDC dalam usaha mengekalkan hubungan rapat dengan penduduk setempat.

Melalui aktiviti seumpama ini juga, STIDC berusaha untuk meringankan beban golongan kurang berkemampuan.

Sebagai rekod, aktiviti tahunan ini juga diadakan sejak tahun 1973.

Oleh itu, Awang Tengah berharap STIDC bersama anak syarikat meneruskan usaha memberi balik kepada komuniti setempat.

Hadir sama, Menteri Muda E-Dagang, Datuk Naroden Majais dan Pengurus Besar STIDC, Hashim Bojet.