SIBU: Seorang bekas guru telah dijatuhkan hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini sebentar tadi.

Terdahulu, tertuduh dikenali sebagai Febian Siges, 52, mengaku bersalah atas pertuduhan menipu membabitkan tawaran pekerjaan dalam sektor awam.

Mengikut tuduhan, dia telah menipu seorang lelaki berumur 30 tahun untuk membuat pembayaran sebanyak RM550 ke dalam akaun banknya bagi mendapatkan pekerjaan di dalam sektor awam pada bulan Oktober 2018.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda jika sabit dengan kesalahan.

Tertuduh tidak diwakili peguam diperintah menjalani hukuman itu secara berasingan dengan hukuman penjara yang dijatuhkan terhadapnya sebelum ini.

Pada 10 April lepas, Febian dijatuhkan hukuman tujuh tahun penjara oleh Mahkamah Majistret Sibu setelah mengaku bersalah terhadap 15 pertuduhan menipu membabitkan tawaran pekerjaan dalam sektor awam.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu diantara bulan Oktober 2018 hingga Mac 2019, membabitkan kerugian sebanyak RM25,300.

Febian yang didakwa di dua mahkamah berasingan dijatuhkan hukuman tiga tahun penjara bagi 13 pertuduhan dan empat tahun bagi dua lagi pertuduhan.

Pendakwaan kes dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Azri Zakaria.