KUCHING: Loji perintis bagi menghasilkan hidrogen dan ste-sen pengisian hidrogen yang dibangunkan Sarawak Energy dijangka dilancarkan dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili berkata, SEB juga mencari peluang baharu menghijaukan sistem pengangkutan di Sarawak terutamanya penggunaan kenderaan elektrik mesra alam.

“Sarawak Enegy juga sedang menerajui Agenda Tenaga Hijau Sarawak.

“Hal ini selaras visi Ketua Menteri Sarawak untuk membangunkan ekonomi hijau berasaskan rantaian nilai hidrogen,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama Sarawak Energy di sebuah hotel terkemuka Kuching di sini malam tadı.

Terdahulu Sharbini menjelaskan, liputan elektrik domestik secara keseluruhan di negeri ini sudah menjangkau sebanyak 95 peratus.

SUMBANGAN … Sharbini menyampaikan sumbangan kepada wakil masjid di Kuching, semalam.

Katanya, di luar bandar pula 91 peratus sudah mempunyai sambungan elektrik 24 jam.

“Hal ini selaras aspirasi Sarawak untuk mempunyai liputan elektrik domestik secara menyeluruh menjelang 2025,” katanya.

Pada masa ini, Sarawak Energy sedang melaksanakan ‘Accelerated Rural Electrification Masterplan’ yang dipandu Kementerian Utiliti Sarawak.

Majlis berbuka tersebut menyaksikan seramai 30 penghuni Rumah Seri Kenangan, 56 kanak-kanak yatim dari Rumah Amal Nur Murni dan pihak masjid bersama-sama warga Sarawak Energy berbuka puasa.

Program ini merupakan acara tahunan yang dilaksanakan oleh pihak Sarawak Energy bertujuan untuk merapatkan hubungan antara kakitangan serta penduduk tempatan.