DEBAK: Sejumlah RM202,000 geran Kerajaan Sarawak di bawah peruntukan MRP Adun diagihkan kepada 35 masjid dan surau serta 23 tabung ekonomi wanita di kawasan Saribas.

Sebanyak RM133,000 digunakan untuk dibahagikan kepada 14 masjid (masing-masing RM5,000) dan selebihnya kepada surau dengan setiap satunya menerima RM3,000.

Sementara RM69,000 lagi diagihkan kepada 23 tabung ekonomi wanita di seluruh Saribas.

Kesemua sumbangan disampaikan oleh Adun Saribas Mohammad Razi Sitam dalam dua program yang berbeza iaitu Ziarah Mahabah Ramadan di Masjid Darul Solihin dan Ziarah Ramadan di Masjid Darul Iman.

Beliau ketika ditemui selepas itu memberitahu, sumbangan tersebut merupakan amanah yang harus ditunaikan.

UNTUK ALBUM … Razi bergambar kenangan bersama para penerima sumbangan tabung ekonomi wanita Saribas pada Ziarah Ramadan di Masjid Darul Iman. Foto. OSMAN RAZALI

“Bagi dana yang disumbangkan untuk masjid dan surau, saya mengharapkan ia dapat digunakan sebaik mungkin untuk sebarang aktiviti pengimarahan di tempat masing-masing pada Ramadan atau Syawal nanti.

“Apa yang kerajaan hasratkan, dana tersebut dapat diguna pakai bersama dan memanfaatkan semua pihak,” katanya.

Sementara dana untuk tabung ekonomi wanita, beliau menyifatkan ia sebagai keprihatinan Kerajaan Sarawak untuk membangunkan kaum Hawa di peringkat kampung.

“Sesungguhnya sumbangan wanita selama ini tidak pernah dilupakan. Alhamdulillah peruntukan RM3,000 ini diharap dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan kemahiran dan ekonomi.

SIMBOLIK … Razi melakukan simbolik pengagihan bubur pedas pada Ziarah Ramadan di Masjid Darul Iman.

“Susun atur program, rancang baik-baik… Insha-Allah saya akan memberikan sokongan padu sebab saya tahu, wanita Saribas merupakan wanita yang gigih dan kuat berusaha,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu, mahu pemimpin wanita di peringkat akar umbi untuk terus menguatkan silaturrahim antara satu sama lain.

“Sebagai ahli parti atau pertubuhan bukan kerajaan, wanita juga merupakan ejen penyampaian yang tepat kepada masyarakat.

“Justeru, mainkan peranan masing-masing untuk menyampaikan dasar dan polisi Kerajaan Sarawak kepada suami, anak, rakan dan lain-lainnya.

“Kerana saya bimbang, banyak suara-suara sumbang yang wujud dengan agenda yang tidak bagus untuk perpaduan dan keharmonian kita,” jelasnya.

Razi berterima kasih kepada Pergerakan Wanita PBB Cawangan yang diketuai Rohana Julai yang merangka pelbagai program mendekati mereka yang memerlukan pada bulan mulia ini.

Razi pada majlis yang sama berkesempatan mengagihkan bubur pedas kepada penduduk kampung.

Hadir sama Temenggung Bahagian Betong Pi’ee Alwi, Penghulu Kampung Debak Abang Kifrawi Abang Rukaili serta ketua-ketua kampung dan pemimpin akar umbi.

 

IKHLAS MEMBERI … Razi mengagihkan bungkusan bubur pedas kepada penduduk yang lalu di kawasan tersebut.