MIRI: Kegiatan pengedaran dadah yang dijalankan seorang lelaki tempatan bersama dua wanita warganegara Vietnam di sini terbongkar selepas mereka ditangkap semalam.

Lelaki berusia 24 tahun dan kedua-dua wanita Vietnam berusia 20-an itu ditangkap dalam serbuan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak di perumahan mewah di Jalan Tg Lobang, di sini sekitar jam 11 pagi.

Ketua JSJN Sarawak Superintendan Sahar Abd Latif berkata hasil pemeriksaan telah merampas 681 biji pil ekstasi seberat 235.67 gram, 190 biji pil erimin 5 seberat 52.55 gram, 166.61 gram ketamine, 332.34 serbuk ekstasi dan 21.15 gram dedaun kering disyaki dadah.

Katanya kesemua dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM82,201.10.

“Aktiviti pengedaran bermula pada awal tahun 2018 di sekitar pusat-pusat hiburan di bandaraya Miri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sahar menambah turut disita seutas rantai bersama loket, sebentuk cincin sampua penuh, sebentuk cincin sampua dan 28 keping bentuk kunci disaluti emas, yang semuanya dianggarkan bernilai lebih RM30,000.

Katanya suspek lelaki turut positif dadah jenis syabu dan ketamine serta mempunyai rekod kesalahan lampau manakala kedua-dua wanita Vietnam terbabit negatif dadah dan tiada rekod kesalahan lampau.

Beliau berkata ketiga-tiga suspek kini dalam proses permohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati.

Dadah yang dirampas daripada suspek.

 

Barang kemas yang dirampas daripada suspek.