KUCHING: Menerima panggilan daripada “Mahkamah Terengganu” menyebabkan seorang wanita berusia 52 tahun di Miri rugi lebih RM1 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Supt. Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa iaitu wanita Melanau pada 20 Mei lalu.

“Mangsa yang merupakan penjawat awam pada mulanya menerima panggilan daripada seorang perempuan dengan memperkenalkan diri senagai “Syaifa binti Omar” dari Mahkamah Terengganu.

“Suspek memberitahu akaun mangsa digunakan untuk menggelapkan wang kredit sebuah bank berjumlah RM90,000 dan turut terlibat dengan pembelian dadah,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Mustafa, suspek mengambil kesempatan menakutkan mangsa dengan mendakwa kes tersebut dalam siasatan pihak polis.

“Selepas itu, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai “Sufian Sulaiman” apabila turut membuat tuduhan sama terhadapnya.

“Suspek juga memberitahu kesemua akaun bank mangsa akan dibekukan jika tidak memasukkan wang ke dalam akaunnya,” jelasnya.

Malah, kata Mustafa, mangsa diarahkan untuk menukar nombor telefon bagi pendaftaran sistem perbankan online akaunnya ke nombor telefon yang diberikan suspek.

“Mangsa kemudiannya memasukkan wang keseluruhan berjumlah RM1,096,800 ke salah satu akaun miliknya secara berperingkat dengan 18 transaksi dari 7 hingga 20 Mei.

“Mangsa hanya menyedari telah ditipu setelah membuat semakan melalui mesin ATM dan mendapati wang di dalam akaun banknya tinggal RM21.00 sahaja,” ujarnya.

Mustafa dalam pada itu turut berkata, dari 1 Januari hingga 20 Mei tahun ini, sebanyak 63 kes macau scam yang melibatkan kerugian RM3.9 juta.

Katanya, dalam 63 kes terbabit, 15 suspek berjaya ditangkap dan enam daripadanya sedang dituduh serta menghadapi perbicaraan di mahkamah.