“SUKAN bina badan bukan sahaja untuk lelaki… tetapi juga untuk wanita. Saya berharap, saya akan menjadi inspirasi wanita di luar sana.”

Demikian ungkapan jaguh bina badan wanita Malaysia kebanggaan Sarawak, Philomena Dexclyn Siar, 36.
Philomena mencipta fenomena apabila meraih pingat perak dalam Kejohanan Bina Badan Antarabangsa (Women’s Model Physique) di Yangoon Myanmar Ahad lalu.

Wanita yang berasal dari Kampung Serasot Bau itu mula berjinak-jinak dalam sukan lasak ini sejak empat tahun yang lalu.

“Pada mulanya saya mempunyai masalah berat badan. Sejak itu saya bersenam dan berlatih di gimanasium.

SAYA PUNYA… Philomena menunjukkan pingat dan trofi yang dimenangi dalam Kejohanan Bina Badan Wanita Antabangsa di Yangoon.

“Secara perlahan-lahan minat dan keghairahan saya terhadap sukan bina badan mula timbul… sehinggalah saya seperti sekarang ini,” kata Philo ketika ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching malam kelmarin.

Sejak itu, Philo tanpa menoleh ke belakang, gigih mengangkat bebanan menjadikan tubuh badannya bukan sahaja sihat, tetapi kental dam tegap.

“Saya cukup bangga apabila berjaya meraih pingat perak dalam kejohanan antarabangsa.

“Saya akan terus berusaha untuk meningkatkan lagi prestasi selepas ini,” jelasnya.

Jaguh bina badan wanita negara, Lilian Tan merupakan idola dan sumber inspirasi Philo.

KEBANGGAAN SARAWAK… Philomena bersama trofi juara setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching malam kelmarin.

“Lilian sentiasa memberi dorongan dan sokongan kepada saya.

“Malah dia tidak jemu-jemu memberi tunjuk ajar kepada saya… dia sentiasa memberi kekuatan kepada saya,” kata Philo.

Di samping itu, dia juga mengucapkan jutaan terimah kasih kepada Persatuan Bina Badan Sarawak (SBBA), rakan-rakan seperjuangan, keluarga dan sokongan warga Sarawak.

KENANGAN INDAH… Philomena bersama-sama Presiden Persatuan Bina Badan Sarawak (SBBA) Datuk Wee Hong Seng (ketiga dari kanan) dan rakan-rakan seperjuangan. Turut kelihatan ialah jaguh bina badan Malaysia, Buda Anchah setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching malam kelmarin.