SIBU: Kegiatan penyeludupan minuman bir dan rokok di kawasan wilayah tengah terus digempur oleh Pasukan Gerakan Am Batalion 10 (PGA10) apabila kali ini mereka berjaya merampas nilai keseluruhannya iaitu RM337,166.42 termasuk cukainya.

Pegawai Memerintahnya Supritendan Sanudin Md Isa memberitahu, serbuan ke atas bir dan rokok seludup itu dibuat di Selangau pada Selasa lepas.

Dengan kejayaan itu, jelasnya, ia merupakan rampasan terbesar di sini menjelang musim perayaan (Gawai Dayak dan Hari Raya Aidilfitri).

“Kita sedia maklum bahawa permintaan kedua-dua benda tersebut (rokok dan bir) semakin meningkat khususnya pada perayaan Gawai Dayak yang menjurus permintaan yang tinggi terhadap bir dan rokok,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di Kem Lanang sebentar tadi.

Sanudin ketika mengulas lanjut mengenai Ops Libas yang membabitkan operasi serbuan tersebut memberitahu, serbuan itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota dari cawangan Risik Ip Briged dan PGA10 Sibu serta tiga pegawai dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di dua premis yang disyaki tempat penyimpanan barang tanpa cukai di Selangau antara jam 11 pagi sehingga jam 3 petang kelmarin.

“Pada serbuan itu, kami berjaya merampas sebanyak 2,367 katon rokok dan 55 kotak bir pelbagai jenama yang dipercayai telah diseludup ke negeri ini dengan nilai RM320,964 termasuk cukai.

“Di premis kedua, kami juga berjaya merampas sebanyak 100 kotak minuman keras bernilai RM12,202 termasuk cukai,” ujarnya lagi.