DEBAK: Pemimpin akar umbi GPS mencontohi kepimpinan tertinggi parti dalam aspek kebajikan untuk membantu mereka yang memerlukan.

Adun Saribas Mohammad Razi Sitam memberitahu, apabila contoh yang baik ditunjukkan oleh kepimpinan tertinggi, maka lahirlah pemimpin akar umbi yang baik.

“Orang kata bagaimana acuan, begitulah kuihnya. GPS sebagai parti yang amat mementingkan kesejahteraan rakyat melalui slogannya Utamakan Sarawak, telah menjadi acuan kepada seluruh anggota parti.

“Sehingga, dalam apa jua perkara melibatkan kebajikan untuk membantu mereka yang memerlukan, ia terus menjadi keutamaan.

“Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah menunjukkan teladan yang baik, maka kami di peringkat akar umbi harus berusaha melakukan sebagaimana yang ditunjukkan… mendekati yang susah dan menyantuni keseluruhannya,” katanya pada Ziarah Ramadan di Kampung Debak Laut, baru-baru ini.

Beliau meluangkan masa bersama Pergerakan Wanita PBB Cawangan Saribas yang diketuai Rohana Julai mendekati empat keluarga yang kurang bernasib baik dan memerlukan serta turut menyampaikan sumbangan.

“Tahniah kepada Pergerakan Wanita PBB Cawangan dan Ranting Debak Laut kerana peka dengan apa yang berlaku di sekitar dan yang dihadapi anggota masyarakat. Kita anggota parti tidak boleh pekak, buta dan bisu dalam soal kebajikan rakyat.

“Saya akui bukan semua dapat kita bantu serentak, namun Insha-Allah dari masa ke masa program ini akan cuba diteruskan supaya lebih ramai dapat dibantu,” ujarnya.

“Secara peribadi, dalam bulan yang mulia ini saya begitu teruja diberi kesempatan menjenguk saudara yang sakit, uzur dan tidak berupaya. Ia menjadi satu pengajaran bagi kita yang sihat untuk sentiasa mensyukuri nikmat yang diberikan,” tambahnya.

Sementara itu bagi Rohana, sebenarnya ramai lagi yang memerlukan bantuan seumpamanya.

“Namun kita bergerak secara berperingkat. Kali ini rombongan bersama Razi singgah melawat Saptuyah Julramli, Hamdiah Sulaiman, Telep Yah sekeluarga dan Jauyah Masleh.

“Selepas ini Pergerakan Wanita PBB berusaha untuk mendekati lebih ramai lagi. Semoga dengan ziarah seperti ini dapat menceriakan mereka lebih-lebih lagi menjelang Syawal,” jelasnya.

Rata-rata mereka yang ditemui mengucap seribu syukur atas keprihatian pimpinan parti di peringkat akar umbi yang giat turun padang.

Razi turut menggunakan masa yang ada untuk bertemu rakyat dan mendengar rintihan secara terus.

SEMOGA CEPAT SEMBUH … Razi melawat rakan sekolahnya Saptuyah yang terlantar sakit pada Ziarah Ramadan di Kampung Debak Laut, baru-baru ini. Foto. OSMAN RAZALI

 

DUDUK BERSAMA … Seorang warga emas, Telep yang ditemui Razi tinggal bersama anak dan cucunya di sebuah rumah yang cukup daif.

 

GEMBIRA … Keluarga Jauyah Masleh begitu ceria menerima kunjungan Razi.

 

DENGAR RINTIHAN … Salah seorang penduduk mengambil kesempatan untuk menyuarakan rintihannya kepada seorang wakil rakyat.