KUCHING: Kes rogol menyumbang 51 remaja hamil tahun lalu, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Menurutnya 91 remaja berusia 12 hingga 16 menjadi mangsa rogol tahun lalu dan daripada jumlah itu, 51 didapati hamil.

Beliau berkata secara keseluruhan 2,153 kes remaja hamil di Sarawak tahun lalu apabila menunjukkan peningkatan 23 kes berbanding tahun 2017 (2,130 kes).

Beliau berkata demikian pada sidang selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pusat Sehenti Remaja Hamil (OSTPC) Peringkat Negeri Bilangan 1/2019 di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.

Kata Fatimah, faktor lain yang menyebabkan kehamilan remaja tahun lalu ialah berkahwin pada usia muda (12 hingga 17 tahun) dengan 416 kes.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 105 remaja berkahwin mengikut syariah, 56 mengikut sivil manakala 255 lagi mengikut adat istiadat. Kita juga mendapati lebih separuh iaitu 53 peratus atau 1,141 kes lagi remaja berkahwin pada usia 18 hingga 19 tahun,” jelasnya.

Katanya, ini menunjukkan gambaran jelas yang remaja terbabit berkahwin selepas tamat Tingkatan Lima.

“Didapati remaja hamil yang tidak pernah pergi ke sekolah ialah dua peratus. Justeru, satu kajian di peringkat akar umbi dibuat untuk menentukan punca kepada keciciran remaja terbabit ketika alam persekolahan,” ujarnya.

Maka, kata Fatimah, semua agensi termasuk pemimpin masyarakat perlu berganding bahu dengan kementeriannya untuk mendaftar remaja yang tidak bersekolah atau tercicir.

Beliau turut memberitahu, punca lain kepada remaja hamil ialah sumbang mahram, penyalahgunaan dadah dan kehamilan berulang.