KUCHING: Perbadanan Tabung Pinjaman Tinggi Nasional (PTPTN) dicadangkan ‘memburu’ peminjam ingkar yang berpendapatan RM4,000 ke atas sebulan dan memotong gaji mereka untuk pembayaran balik pinjaman.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Unimas Prof Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman berpendapat tindakan itu wajar kerana golongan peminjam berkenaan sepatutnya mampu membayar pinjaman.

Katanya mereka yang bekerja dalam perkhidmatan awam boleh ‘diburu’ melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) manakala yang bekerja dalam sektor swasta boleh dikesan melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan LHDN.

“Saya sangat positif jika PTPTN memburu mereka sekarang.

“Pasti mereka (PTPTN) dapat mengesan siapa yang mendapat gaji yang baik tetapi enggan membayar balik pinjaman PTPTN mereka,” katanya yang dihubungi, semalam.

Beliau juga mencadangkan supaya dikenakan penalti bagi peminjam ingkar yang memperoleh pendapatan melebihi RM4,000 sebulan.

“Jika mereka enggan membayar, mereka harus dikenakan denda.

“Bukannya kita mahu kejam tetapi pada pandangan saya, peminjam perlu ‘diajar’ supaya mereka bertanggungjawab membayar balik pinjaman,” tegasnya.

Namun demikian, Mohd Fadzil menyarankan PTPTN mengkaji semula keputusan untuk menyekat peminjam-peminjam mereka memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan.

Katanya adalah tidak adil untuk menghalang orang memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan kerana pengangkutan merupakan kebergantungan mereka untuk mencari pendapatan atau perlu pergi ke tempat kerja.

“Ada yang mungkin berpendapat bahawa jika peminjam ini mampu membeli kereta, kenapa mereka tidak boleh membayar pinjaman PTPTN?

“Tetapi jika mereka tidak dapat memandu, bagaimana mereka akan mencari wang?” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Fadzil berpendapat larangan keluar negara mungkin pilihan yang lebih munasabah memandangkan ia telah dilaksanakan sebelum ini.

Jelasnya ini kerana apabila dilaksanakan, jumlah peminjam PTPTN yang membayar pinjaman meningkat namun disebabkan manifesto Pakatan Harapan (PH), terdapat penurunan yang mendadak dalam pembayaran pinjaman.

“Kebanyakan mereka yang melancong ke luar negara adalah untuk masa lapang dan ini bermakna mereka mampu untuk pergi bercuti.

“Oleh itu, PTPTN perlu bersikap adil dan mengambil kira faktor-faktor tersebut kerana apa jua cadangan yang mereka cari, pada akhir hari, ia perlu masuk akal,” katanya.

Manakala Presiden Persatuan Graduan Bidayuh, Profesor Ahi Sarok menyifatkan tindakan kerajaan menyekat peminjam PTPTN memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan adalah bukan langkah wajar.

Sebaliknya, beliau berpendapat langkah terbaik yang boleh diambil ialah dengan mengesan peminjam ingkar, memberikan mereka notis atau berdialog dengan mereka.

“Sekiranya Kerajaan PH menyekat peminjam PTPTN memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan, bermakna mereka membuat pusingan U daripada manifesto pilihan raya lepas.

“Bahkan keputusan ini bakal menyebabkan ramai orang tidak dapat bekerja,” katanya.

Menurut rekod PTPTN, seramai 356,000 peminjam tidak pernah membuat bayaran balik pinjaman walaupun dalam jumlah paling minimum setiap bulan.