KUCHING: Kompaun RM100 tidak wajar dikena kepada peniaga bazar Ramadan sebaliknya harus diberikan amaran sebelum diambil tindakan.

Baru-baru ini, Jabatan Kesihatan Negeri mengeluarkan 14 kompaun di seluruh negeri selepas 11 Ramadan.

Daripada jumlah itu, 11 kompaun dikeluarkan di Bazar Ramadan Stutong manakala tiga lagi di Sarikei.

Kompaun dikenakan kepada pengendalian makanan atas kesalahan seperti tidak memakai apron dan sarung tangan.

Bagi Wan Fatimah Leman, 57, berasal dari Kampung Matang, peniaga perlu menjaga kebersihan termasuk kesihatan makanan disediakan kepada orang ramai.

“Sarung tangan dan wanita beragama Islam hendaklah menggunakan tudung semasa menyediakan juadah supaya rambut tidak terjatuh ke dalam makanan,” katanya.

Tambah Wan Fatimah, hanya perniaga ingkar dan diberikan amaran sahaja layak dikenakan kompaun.

Manakala Abdul Rashid Hassan, 57, merupakan kakitangan Politeknik Kuching menjelaskan, kerajaan harus mengambil inisiatif untuk menyediakan keperluan seperti sarung tangan, topi dan apron kepada peniaga.

“Kompaun RM100 agak tinggi dikenakan kepada peniaga sebaiknya memberi amaran adalah lebih efektif dan efisien,” jelasnya.

Tambah Rashid, perbanyakkan tong sampah di kawasan perniaaan dapat memudahkan peniaga di bazar Ramadan menjaga kebersihan persekitaran kawasan.

Bagi Maskinah Abdullah 66 berbangsa Cina dan beragama Islam dari Kampung Matang menyatakan, tindakan mengenakan kompaun tidak harus dilakukan kerana ada peniaga makanan kecil-kecilan tidak mampu membayar kompaun tersebut.

“Sebaiknya amaran dan rundingan antara kedua-dua pihak harus dilakukan,” ujarnya.

Maskinah mencadangkan supaya perniaga makanan hendaklah berniaga di tempat disediakan contohnya di Medan Niaga Satok bukannya di tepi jalan.

“Kebersihan lebih terjamin sekiranya berniaga di tempat disediakan kerana ada petugas yang membersihkan kawasan serta kemudahan lengkap,” ujarnya lagi.

Arumugam Ramasamy 46 berasal dari Kuching berkata perniaga makanan di bazar Ramadan harus menggunakan sarung tangan, apron, topi dan penutup hidung termasuk mulut supaya kelihatan bersih dan kemas.

Selain itu, peniaga juga harus menutup makanan disediakan terutamanya kuih-muih dan lauk-pauk.

“Kadang-kadang ada perniaga mengunakan terus tangan tanpa memakai sudu untuk mengambil kuih-muih,” katanya.

Tambah Arumugam, hanya peniaga yang ingkar arahan sahaja harus dikenakan tindakan kompaun bukan perniaga baharu ditangkap melakukan kesalahan.

Sabariah Tohbytal, 49, berasal dari Kampung Matang tidak bersetuju kompaun terus dikenakan kepada perniaga bazar Ramadan.

“Kita harus mempertimbangkan kesalahan kerana mereka juga pencari rezeki… sepatutnya amaran patut dikeluarkan terlebih dahulu,” katanya semasa ditemui di Dewan Sosial Kampung Matang.

Tambah Sabariah, pastikan makanan sentiasa ditutup dan dijaga kebersihan terutama makanan tidak habis dijual semalam tidak harus dijual keesokannya.