KUCHING: Veteran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Peter Minos meluahkan kerisauannya mengenai tindakan pihak tertentu mempolitikkan perayaan Gawai untuk kepentingan politik masing-mas-ng.

“Hari Gawai merupakan perayaan suci dan disambut dengan penuh adat istiadat diwarisi daripada nenek-moyang. Malangnya, terdapat pihak tidak bertanggungjawab mula mengambil kesempatan mempolitikkan perayaan Hari Gawai untuk kepentingan politik, sekali gus mencemarkan makna sebenar Gawai.

“Malah, terdapat beberapa pihak dilihat mempunyai motif tersirat menggunakan perayaan ini sebagai saluran mendapat sokongan rakyat untuk parti mereka,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak di sini, semalam.

Sehubungan itu, Minos yang juga Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) melahirkan rasa kecewa dengan pihak mempunyai motif tersirat di sebalik penganjuran dan sambutan Hari Gawai di negeri ini.

Beliau berpendapat, mereka tidak seharusnya mengambil kesempatan merayakan Gawai untuk melaksanakan agenda politik.

“Ini sudah pasti akan mencemarkan kesucian upacara Hari Gawai dan pihak tidak bertanggungjawab seharusnya berasa bersalah sekiranya mereka menggunakan perayaan Hari Gawai sebagai medan politik,” tegasnya.

Justeru, Minos menasihati masyarakat Dayak di negeri ini agar berhati-hati dengan pihak mempunyai agenda politik untuk kepentingan politik mereka.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai cadangan Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) menubuh sebuah badan khas untuk sambutan Gawai peringkat negeri atau persekutuan, Minos bersetuju dengan pandangan dikemukakan Presiden SDNU Tan Sri William Mawan Ikom itu.

“Saya setuju dengan pendapat Tan Sri William Mawan. Harus ada jawatankuasa khas mengeluarkan kenyataan dan menen-tukan bila Gawai bermula dan berakhir setiap tahun.

“Ini adalah demi kebaikan masyarakat Dayak secara keseluruhannya,” ujar beliau.

Terdahulu, Presiden SDNU Tan Sri William Mawan Ikom dalam satu kenyataan berkata, pihak nya bercadang menubuhkan sebuah badan khas supaya protokol, adat dan tradisi Gawai yang sesuai dapat dilihat dan seterusnya meningkatkan status Gawai.

Jelasnya, tanpa kuasa dan protokol yang betul, perayaan Gawai boleh disalah guna oleh individu tertentu untuk kepentingan mereka sendiri.

Mawan berkata demikian ketika mengulas mengenai sambutan perayaan Gawai Dayak Peringkat Kebangsaan di Bintulu, Sabtu lalu yang dihadiri oleh Menteri Multimedia dan Komunikasi anjuran individu tertentu tanpa kerjasama daripada badan yang mewakili masyarakat Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.