Fatimah pada sidang media selepas mempengerusikan Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaran Di Bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan di pejabatnya, Bangunan Baitulmakmur di sini hari ini.

 

KUCHING: Sebuah Pusat Kanak-Kanak Berkeperluan Khas akan ditubuhkan di sini, yang menyediakan kemudahan khusus untuk kanak-kanak kurang upaya di negeri ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata penubuhan pusat sehenti itu diluluskan dalam mesyuarat kabinet negeri, hari ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata penubuhan pusat berkenaan adalah di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) Petronas, yang memperuntukkan sebanyak RM4 juta untuk pembinaan bangunannya.

“Ini adalah CSR Petronas, mereka sudah setuju bekerjasama dengan Sarawak.

“Kita sudah berbincang tentang perkhidmatan yang akan disediakan dan berharap bangunan pusat ini dapat dibina dalam tahun ini,” katanya sambil menambah tapak bangunan sudah dikenalpasti, namun enggan mendedahkannya terlebih dahulu.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaran Di Bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan di pejabatnya, Bangunan Baitulmakmur di sini hari ini.

Menurut Fatimah, antara perkhidmatan yang dirancang adalah diagnostik melalui klinik yang akan dibuka di dalam pusat berkenaan.

Katanya perkhidmatan itu amat penting untuk mengesahkan jenis kurang upaya seseorang kanak-kanak sama ada dari segi fizikal, mental, autisme, Sindrom Down atau sebagainya.

Selain itu, beliau berkata perkhidmatan intervensi awal juga akan disediakan khususnya untuk golongan kanak-kanak autistik.

Katanya melalui perkhidmatan intervensi itu, ia secara tidak langsung membantu meringankan beban ibu bapa untuk membiayai kos intervensi anak mereka yang autistik.

“Terdapat begitu ramai kanak-kanak autistik, bukan sahaja di Sarawak tetapi juga seluruh dunia.

“Ada ibu bapa di Sarawak yang sanggup pergi atau berpindah ke Kuala Lumpur demi mendapatkan intervensi untuk anak autistik mereka.

“Tapi bagi ibu bapa yang berpendapatan rendah, mereka tidak mampu membiayai kos intervensi dan oleh sebab itu, kita berharap penubuhan pusat ini dapat membantu mereka,” katanya.

Fatimah menambah perkhidmatan intervensi itu juga akan dibuat sebelum seseorang kanak-kanak kurang upaya memasuki alam persekolahan, sekali gus menyediakan mereka dengan pendidikan formal di sekolah rendah.

Hadir sama Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden dan Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Rosey Yunus.