KUCHING: Seorang penjaja warga Indonesia yang mengaku bersalah memiliki 135 biji telur penyu tanpa permit dikenakan hukuman sebulan penjara semalam.

Hakim Mahkamah Seksyen Mohd Taufik Mohd Yusof mengenakan hukuman berkenaan terhadap Asnawati, 60, setelah dia mengaku bersalah mengikut Seksyen 29(1) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.

Asnawati ditangkap ketika ditemui menjaja 135 biji telur penyu yang dijual dengan harga RM10 untuk setiap lapan biji telur berkenaan.

Tertuduh ditangkap sepasukan pegawai penguatkuasa daripada Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) ketika melakukan pemeriksaan berkala di Pasar Serikin dekat Bau dimana mereka menahan seorang wanita Indonesia yang menjaja telur penyu berkenaan di tempat letak kereta.

Turut dirampas dari penjaja wanita berkenaan ialah 135 biji telur penyu, sebuah bakul anyaman, 40 bungkusan beg plastik, sebuah buku Lintas Batas No, MA207867.

Tertuduh juga gagal menunjukkan lesen yang sah yang membenarkannya menyimpan telur penyu berkenaan daripada Penguatkuasa Hidupan Liar.

Siasatan susulan mendapati telur penyu berkenaan adalah jenis dilindungi mengikut Seksyen 29(1) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun ataupun denda RM25,000.

Timbalan Pendakwaraya Mohamad Muhaimin daripada Pejabat Peguam Negeri Sarawak hadir bagi pendakwaan.