KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang dalam usaha membantu meringankan beban golongan pesakit buah pinggang di negeri ini untuk menjalani hemodialisis.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat kabinet negeri hari ini, di mana kementeriannya akan menjalankan kajian mengenainya.

Katanya ia memandangkan bilangan pesakit buah pinggang yang menggunakan perkhidmatan hemodialisis di Hospital Umum Sarawak (HUS) sangat besar.

Malah, katanya ada pesakit yang terpaksa dirujuk ke hospital dan klinik swasta untuk menjalani hemodialisis, yang menelan bayaran tinggi.

“Menyedari masalah ini, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam mesyuarat kabinet telah mengarahkan kementerian saya membuat kajian supaya kita dapat tahu dari segi statistik pesakit, kemudahan hemodialisis yang ada di hospital awam dan swasta serta banyak lagi.

“Hasil kajian akan dibentangkan kepada kabinet untuk kelulusan bagi membolehkan kita membantu pesakit buah pinggang terutama yang kurang berkemampuan mendapatkan bantuan perkhidmatan hemodialisis,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaran Di Bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan di pejabatnya, Bangunan Baitulmakmur di sini hari ini.

Fatimah berkata sekiranya diluluskan, kerajaan negeri mungkin membantu dari segi pembelian mesis dialisis dan meletakkan di setiap hospital bahagian.

“Kita menyedari bantuan seperti ini amat diperlukan oleh pesakit buah pinggang dan kami akan menyelesaikan kajian secepat mungkin agar bantuan ini dapat dilaksanakan,” katanya.