DARO: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro, Safiee Ahmad menyampaikan sumbangan peribadi kepada seramai 140 orang asnaf di kawasannya.

Penyampaian sumbangan itu disampaikan oleh beliau dalam majlis berbuka puasa bersama Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Anggota Kerajaan (MAKSAK) Daerah Daro di sini, petang semalam.

Mereka yang menerima sumbangan terdiri daripada fakir miskin, anak yatim, warga emas dan ibu tunggal.

Sehubungan itu, Safiee berkata, sumbangan berkenaan bertujuan membantu mereka yang kurang berkemampuan menyambut Ramadan dan Hari Raya yang bakal tiba tidak lama lagi.

“Saya berharap penerima memanfaat sumbangan ini dengan sebaik-baiknya. Bantuan ini tidaklah besar, namun sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban sekali gus menceriakan mereka,” katanya kepada wartawan.

Safiee menyantuni penerima sumbangan dalam program berbuka puasa bersama MAKSAK Daro, semalam.

Sehubungan itu, Ramadan Al Mubarak merupakan platform terbaik bagi Safiee untuk turun padang di samping meninjau dan memahami permasalahan rakyat di kawasannya.

Program tradisi beliau itu bukan sahaja untuk melakukan amal ibadah tetapi pada masa yang sama, merapatkan ukhuwah bersama penduduk setempat.

Selain bersolat jemaah tarawih bersama rakyat sejak awal Ramadan lalu, beliau turut mengambil kesempatan meninjau beberapa projek di kawasannya selain menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

Antara projek berkenaan ialah naiktaraf Dewan Kampung Nangar, pembinaan blok bangunan baru Sekolah Kebangsaan (SK) Nangar melalui Sistem Pembinaan Berindustri (IBS), projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS), Dewan Terbuka Kampung Panchor dan lain-lain lagi.

Dalam pada itu, Safiee turut menghulurkan sumbangan peruntukan dan air mineral kepada masjid serta surau untuk kegunaan program sepanjang Ramadan.

“Meluangkan masa bersama rakyat menghilangkan rasa penat terutama bila melihat mereka gembira,” ujar beliau.

Menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima sambil diperhatikan tetamu jemputan yang lain.