KUCHING: Sotong tutok merupakan kudapan istimewa masyarakat Sarawak setiap kali menjelmanya bulan Ramadan.

Bulan Ramadan seolah-olah tidak lengkap tanpa sotong tutok yang biasanya dinikmati selepas menunaikan solat sunat terawih.

Sotong tutok diperbuat daripada sotong kering yang dibakar dan diketuk dengan tukul sebelum dihidangkan dengan sos pencicah.

Abdull Leddy Abdullah Chili, 38, penjual sotong tutok menggunakan mesin penggelek yang berinovasi, lain daripada yang lain dengan menggunakan mesin jahit terpakai.

“Mesin ini dibina untuk meringankan beban kerja kerana proses menggunakan mesin penggelek sebelum ini agak memenatkan.

“Jadi, dengan adanya mesin ini, beban kerja agak kurang,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak di bawah Jambatan Satok malam kelmarin.

Abdull Leddy memberitahu, mesin jahit terpakai diubahsuai dan ditambah baik.

“Modal untuk mesin penggelek daripada mesin jahit ialah sekitar RM600 hingga RM700.

“Mesin ini masih dalam proses penambahbaikan untuk meningkatkan kecekapan,” jelas Abdull Leddy.

Selain itu, dia juga mengolah mesin pengetuk yang menggunakan enjin untuk beroperasi.

Tambahnya, mesin pengetuk itu hanya perlu ditekan menggunakan kaki untuk menggerakkan mesin tersebut supaya mengetuk sotong kering yang telah dibakar.

“Kos untuk menghasilkan mesin pengetuk ini pula dalam lingkungan RM700 hingga RM800.

“Kebiasaannya, sotong kering akan diketuk menggunakan penukul biasa dan ia agak memakan masa.

“Tetapi dengan menggunakan mesin… maka prosesnya agak cepat,” jelasnya.

Abdull Leddy juga menggunakan konsep ‘Food Bike’ untuk memudahkan aktiviti perniagaannya.

Dia ingin mengembangkan konsep perniagaan tersebut di sekitar Kuching kerana berpotensi besar untuk menarik pelanggan.

“Saya menggunakan basikal antik yang diubahsuai untuk meletakkan barang serta mudah dibawa ke mana sahaja.

Jadi, saya boleh melakukan perniagaan saya di mana-mana sahaja,” jelasnya yang berkayuh dari Kampung Kudei Baru ke Hotel Serapi sebelum berniaga di bawah Jambatan Satok.

Abdull Leddy mula menuju ke bawah Jambatan Satok sekitar jam 7.30 malam untuk menjual sotong tutok sehingga 12.30 malam bergantung kepada situasi dan keadaan.

Tiga sos pencicah digunakan iaitu sos keju, sos sambal dan sos lada hitam untuk menambah keenakan sotong tutok.

Sotong tutok dijual pada harga RM2 sehingga RM20 bergantung kepada saiz dan kuantiti.

Turut dijual ialah sotong goreng tepung dan pari tutok.

Menurut Abdull Leddy, secara purata dia meraih sekitar RM100 atau lebih semalam, bergantung kepada permintaan.