KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semalam mahu urusan keagamaan dan hal-ehwal umat Islam di negeri ini terus ditadbir urus dengan baik.

Menurutnya, kecemerlangan yang ada harus dipertahankan agar pengurusan ini akan terus dicontohi pihak lain.

“Di Sarawak, jumlah kita (umat Islam) tidak besar, tetapi kita dapat menguruskan hal ehwal masyarakat kita dengan baik.

“Kerana itu, orang luar melihat masyarakat Islam di Sarawak begitu akrab dan mempunyai pendekatan yang tersusun,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Majlis Islam Sarawak (MIS) kepada 104 masjid dan 250 surau Bahagian Kuching di Kompleks Islam Sarawak di sini, semalam.

Agihan itu katanya, bertujuan untuk meringankan beban surau-surau dan masjid ini dalam menjalankan pelbagai aktiviti sempena bulan Ramadan al-Mubarak.

Sejumlah 411 masjid dan 1,063 surau di seluruh Sarawak menerima sumbangan sebanyak RM1,000 sebuah ini, membabitkan peruntukan berjumlah RM1.48 juta oleh MIS.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, masyarakat Islam di Sarawak membangun hasil amalan dan sumbangan zakat penganutnya.

“Zakat yang dibayar selama ini telah dapat kita uruskan dengan baik dan meletakkan kepentingan mengikut golongan asnaf.

“Manakala pengurusan dana yang profesional dan mantap pula membolehkan kita membangunkan kemudahan masyarakat kita sendiri tanpa terlalu banyak bergantung kepada kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MIS Datuk Misnu Taha berkata, semua jawatankuasa pengurusan masjid dan surau perlu memastikan dana yang diperolehi dibelanjakan dengan sebaik mungkin, khususnya untuk mengimarahkan serta menghidupkan bulan Ramadan.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan kepimpinan masjid supaya sentiasa peka akan perubahan zaman dan mempersiap diri dengan meningkatkan ilmu pengetahuan.

“Hari ini masjid-masjid berfungsi dalam persekitaran berbeza berbanding sebelumnya.

“Cabaran-cabaran yang dihadapi jauh lebih rumit kerana cabaran masa kini melibatkan serangan kepada akal dan aqidah seperti isu-isu pluralisme agama, liberalisme dan sosial.

“Usaha perlu dilakukan untuk membentuk semula masjid agar mencerminkan agenda perubahan dan kesinambungan yang dihadapi masyarakat,” tambahnya lagi.