BINTULU: Tugas seorang cef bukanlah mudah, lebih-lebih lagi apabila perlu menyediakan makanan dan memasak di atas kapal yang sedang bergerak dalam keadaan laut bergelora.

Itulah cabaran yang dihadapi tukang masak, Zainal James, 27, bagi menyediakan makanan untuk anggota penguatkuasaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia(APMM) Zon Maritim Bintulu di atas kapal ‘KM Tabah’ acapkali menjalankan rutin rondaan dan penggeledahan di perairan Bintulu.

Beliau yang baharu tiga tahun berkhidmat dengan APMM Zon Maritim Bintulu memberitahu
sentiasa berada dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi situasi dengan tenang dan profesional demi menyediakan perkhidmatan terbaik.

“Memang mencabar bila perlu melaksanakan tugas dalam keadaan terhuyung-hayang keadaan kapal yang bergerak berikutan ombak kuat dan bergelora, ujarnya ketika ditemui wartawan Suara Sarawak.

Anak muda berasal dari Tanjung Bundong, Samarahan, ini turut memberitahu berada di lautan memang berbeza ekoran suasana yang kadang kala membuat beliau rasa ‘tidak selera’ untuk memasak, namun ia perlu juga diteruskan demi memastikan kelangsungan tugasnya sebagai tulang masak selain memastikan kesemua krew berpuas hati dengan sajian masakannya.

Zainal, bagaimanapun, bersyukur lantaran sebelum diserapkan ke dalam perjawatan, beliau terlebih dahulu mengikuti latihan selama setahun, masing-masing enam bulan di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah(AMSAS), Kuantan, Pahang Darul Makmur secara teori dan enam bulan lagi latihan praktikal memasak di atas kapal maritim ‘KM Tabah’.

Sejurus tamat latihan, katanya, beliau ditempatkan di Pejabat APMM Zon Maritim Bintulu hingga kini.

Apabila tiada penugasan atau rondaan di laut, beliau akan berada di pejabat atau menjalankan tugas menjaga kapal (KM Tabah) yang berlabuh di Pelabuhan Bintulu secara bergilir- gilir dengan rakan sekerja yang lain,ujarnya mengakhiri perbualan.