BINTULU: Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) komited dalam melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat setempat sama ada di bandar mahupun luar bandar.

Pengurus Kanan Perkhidmatan Kumpulan BPHB, Maslihah Tioh berkata kesungguhan pihaknya dalam pelaksanaan program CSR dapat dibuktikan melalui pelbagai program dan aktiviti sama ada ia telah dilaksanakan atau bakal dilaksanakan.

Antara program CSR dilaksanakan secara tahunan ialah program pendidikan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu, sumbangan keperluan dan peralatan perubatan kepada Hospital Bintulu, program Bintulu Port Prihatin yang menfokuskan bantuan kemanusiaan akibat musibah kebakaran dan sebagainya.

“Selain program CSR aspek kesihatan, kebajikan, sukan, penjagaan alam sekitar, program bersama rakan media dan aktiviti bersama-sama komuniti di kawasan pedalaman dan luar bandar turut diadakan,” katanya pada program Jalinan Kasih Ramadan 2019 BPHB Bersama Persatuan Ibu Tunggal Sarawak (Pitsa) Cawangan Bintulu di Hotel Promenade di sini semalam.

Seramai 50 ibu tunggal terpilih diraikan dalam majlis berbuka puasa yang turut diselitkan dengan penyerahan sumbangan BPHB kepada golongan terbabit.

Bercakap mengenai program Jalinan Kasih Ramadan, Maslihah berkata, ia sebahagian daripada program CSR tahunan pihaknya sebagai aspek kebajikan bersama-sama komuniti yang kurang bernasib baik.

Program berkonsepkan khidmat bersama komuniti bulan Ramadan ini, katanya, mula dilaksana sejak 2018 dengan menfokuskan anak yatim daripada Peryatim Bintulu.

Beliau yakin program sedemikian merupakan satu pendekatan yang proaktif dalam jalinan hubungan serta kerjasama antara pihak BPHB dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu golongan kurang mampu terutama pada bulan Ramadan. Pengerusi PITSA Cawangan Bintulu Hanita Dahlan hadir sama.