BINTANGOR: Seramai 20 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Bintangor dirai dalam majlis iftar Ramadan di sini, semalam.

Program anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan Bomba Bintangor itu bertujuan mengeratkan hubungan dalam kalangan anggota selain mendekatkan diri mereka dengan masyarakat di daerah ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin berkata, selain anggota balai, program itu turut dihadiri jawatankuasa pengurusan Masjid Al-Taqwa Bintangor.

Menurutnya, program diserikan majlis penyerahan kuih raya sumbangan dari Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) kepada semua anggota balai, sumbangan kepada anggota yang menimang cahaya mata dan anak mereka yang menerima rawatan di hospital.

“Kita menyampaikan sijil Anugerah Perkhidmatan Terpuji dan sijil Pegawai Sejahtera serta cenderakenangan kepada pegawai Bomba Bantuan yang akan melapor diri sebagai Pegawai Bomba KB19,” katanya.

Antara anggota yang hadir pada majlis iftar Ramadan anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan Bomba Bintangor.

Terdahulu dalam ucapan, Nicholas berkata, pasukan bomba dan penyelamat sememangnya sentiasa bersedia untuk memberi khidmat kepada masyarakat termasuk sepanjang musim perayaan bagi menjamin keselamatan orang ramai.

Sehubungan itu katanya, pengurusan operasi kebombaan dan penyelamat di peringkat balai sentiasa pada tahap optimum selaras dengan arahan Pengarah Bomba Negeri semasa perayaan Gawai dan Aidilfitri.

Pada masa yang sama ujarnya, pengurusan cuti pegawai dan anggota juga diselaraskan dan hanya 20 peratus daripada kekuatan keseluruhan anggota balai dibenarkan bercuti.

“Rondaan lebih kerap dilakukan ke atas lokasi strategik dan kawasan kerap kemalangan bermula 25 Mei hingga 9 Jun 2018 sama ada pada waktu pagi mahupun petang. Kita juga melakukan pemeriksaan premis dan tempat awam bagi tujuan menghapus bahaya kebakaran pada 21 hingga 27 mei 2019.

“Langkah ini bertujuan menangani kes tertentu dan secara tidak langsung dapat memberi respon awal jika berlaku kemalangan jalan raya.

“Saya juga ingin mengingatkan anggota supaya menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan sentiasa bersiap sedia di samping mengutamakan keselamatan diri serta persekitaran tempat kerja. Manakala, bagi yang pulang ke kampung patuhilah peraturan jalan raya bagi mengelak kemalangan,” katanya.

Majlis turut dihadiri Ketua Zon 4 yang diwakili oleh Ketua Bahagian Penyiasatan Kebakaran Zon, (PGB) Rafie Sapar serta semua pegawai Bomba Kanan, pegawai Bomba dan pegawai Bomba Bantuan yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor.

Rafie (kiri) menyampaikan sijil kepada salah seorang anggota sambil diperhatikan Nicholas (dua kanan).