KUCHING: Tong gas LPG mendapat permintaan tinggi di wilayah Kalimantan, Indonesia pada setiap perayaan Hari Gawai dan Hari Raya Aidilfitri, yang mengundang kepada kegiatan penyeludupan barang itu.

Ini terbukti apabila Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuching menggagalkan cubaan menyeludup 232 tong gas LPG bernilai RM203,360 dalam Op Batas di kawasan letak kenderaan sebuah gudang berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu.

Menurut Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA Kuching Superintendan Rosdi Inai, operasi melibatkan empat pegawai dan anggota PGA kira-kira jam 7.30 malam semalam, atas risikan dan maklumat yang diperolehi.

“Semua tong gas LPG ini disembunyikan di dalam sebuah lori, dipercayai hendak diseludup ke negara jiran melalui jalan darat untuk pasaran di sekitar Kalimantan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PGA Sarawak di sini, hari ini.

Rosdi berkata rampasan dibuat setelah pemandu lori berkenaan gagal mengemukakan lesen borong yang sah dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Beliau menambah pihaknya turut menahan dua lelaki tempatan berusia 28 dan 48 tahun yang dipercayai pemandu dan kelindan lori tersebut.

Katanya kes akan dirujuk kepada pejabat KPDNHEP untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Rosdi turut menasihatkan masyarakat setempat supaya sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dalam usaha membanteras kegiatan haram.

 

Rosdi (tengah) menunjukkan gambar rampasan tong gas LPG dari sebuah lori di gudang berhampiran ICQS Tebedu, dipercayai hendak diseludup masuk ke Kalimantan.