PUSA: Adun Beting Maro Razaili Gapor mahu masyarakat Iban di 10 buah rumah panjang dalam konstituensinya menghayati sepenuhnya perjuangan GPS terutamanya dalam mempertahankan hak-hak Bumi Kenyalang.

Katanya, pemahaman tentang GPS sebagai tulang belakang kerajaan Sarawak perlu diketahui sedalam-dalamnya.

“Kita rakyat Bumi Kenyalang perlu tahu, apa parti GPS? siapa pemimpin kita? kenapa ditubuhkan? bagaimana kedudukan kita di Putrajaya? apa perjuangan?

“Semua perkara tersebut harus kita ketahui dan hayati. Tidak cukup sekadar hanya tahu nama, lambang dan slogan.

“Sebab itu dalam kegembiraan menjelang Gawai Dayak yang akan datang, saya mengajak semua komuniti Iban untuk menghayati sepenuhnya perjuangan GPS.

JAGA KEBAJIKAN … Razaili menyampaikan sumbangan kepada OKU selepas perjumpaan bersama tuai-tuai rumah serta komuniti rumah panjang di Muton Kara, semalam. Foto. OSMAN RAZALI

“Antara perkara yang amat penting ialah, kerajaan Sarawak pimpinan GPS kini berhasrat untuk memajukan Sarawak. Sebab itu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menetapkan sasaran untuk menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri maju menjelang 2030.

“Selain itu, tanggungjawab untuk mempertahankan Sarawak dan isinya daripada dikuasai parti luar,” katanya.

Beliau bercakap demikian ketika mengadakan perjumpaan bersama tuai-tuai rumah serta komuniti rumah panjang di Rh Remi Ambau Muton Kara, semalam.

Jelasnya sebagai anak Sarawak, segala yang direncana oleh Kerajaan Sarawak perlu diberikan sokongan padu.

“Sebab untung nasib kita bergantung kepada GPS.

SIMBOLIK … Razaili serta tetamu dan barisan tuai-tuai rumah menerima sumbangan meja lipat dan kerusi pada majlis yang sama.

“Justeru, saya mahu agar kita jangan mempertaruhkan nasib untuk memberi peluang kepada parti luar dari Sarawak. Tidak perlu dicuba untuk menukar pemerintahan di Sarawak.

“Prestasi yang ditunjukan PH selama ini jelas tidak memuaskan hati rakyat. Lebih teruk, banyak projek untuk Sarawak yang dibatalkan. Ada yang kata semakin ‘merinsak’.

“Malah ada pemimpin mereka yang berasal dari Sarawak tapi membatalkan projek pembinaan jambatan dan sebagainya… ini yang sedih,” ujarnya.

“Oleh yang demikian, bersamalah kita memperkuatkan GPS agar Sarawak terus maju sekaligus hak-hak terus dapat dipertahankan daripada diganggu gugat pihak luar,” tambahnya.

Sebagai menceriakan sambutan Gawai Dayak di Beting Maro, Razaili menyumbang dana untuk pimpinan parti, gereja selain duit raya kepada mereka yang hadir.

Turut disumbangkan 45 set meja lipat, 270 kerusi dan 220 katon air tin.

Hadir sama Pemanca Daerah Pusa Awang Raziee Awang Mohd Zain, Penghulu Kampung Pusa Mahdi Kidi, Ketua Pergerakan Wanita PBB Cawangan Hajijah Lueng, Tr Rumah Panjang Muton Kara Remi Ambau dan ketua-ketua kampung, tuai-tuai rumah serta komuniti Iban di kawasan sekitar.

CERIAKAN GAWAI … Sebanyak 220 pintu dari 10 rumah panjang masing-masing menerima sumbangan air tin dan kelihatan Razaili melakukan simbolik penyerahan kepada tuai-tuai rumah.

 

DUIT RAYA … Razaili menyampaikan duit raya kepada penghuni rumah panjang.