MUKAH: Bulan Ramadan merupakan bulan anugerah untuk umat Islam seluruhnya menambah amalan demi meraih ganjaran dan ketakwaan yang dijanjikan-Nya.

Amalan -amalan sunat seperti iftar jamaei, sedekah, solah terawih dan solat hajat adalah amat digalakkan untuk dilaksanakan khususnya pada bulan Ramadan.

Lantaran itu SK Kampung Tellian dengan kerjasama PIBG sekolah berkenaan mengadakan Program Iftar Jamaei bertujuan mengeratkan silaturahim antara warga Sekolah Kebangsaan Kampung Tellian Mukah.

Menurut Penyelaras Program, Ustazah Rakiah Binti Hj Abu Seman, program ini diharapkan dapat mendidik hati warga SK Kampung Tellian dan PIBG mensyukuri nikmat kasih sayang dan kekeluargaan yang dikurniakan oleh Allah.

“Di samping itu dapat memupuk semangat ukhwah Islamiah dan beramah mesra antara warga SK Kampung Tellian, PIBG dan komuniti setempat,” tambahnya.

BERKONGSI REZEKI … James sambil diiringi oleh Syazana @ Rupina Tambi, menyampaikan sumbangan persiapan hari raya kepada murid-murid yang memerlukan.

Manakala, bagi Guru Besar sekolah berkenaan, Syazana @ Rupina Tambj berharap peserta program ini dapat menghayati nilai kasih sayang dan kekeluargaan, mensyukuri nikmat pemberian Allah dan bersederhana serta menghayati Sunnah Rasullullah pada bulan Ramadan.

Pengisian program tersebut dimulakan dengan Bacaan Surah Ya-sin dan diikuti dengan Bacaan Tahlil.

Dalam program tersebut juga, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menyampaikan sumbangan persediaan Hari Raya kepada murid-murid yang memerlukan dan telah disempurnakan oleh Yang Dipertua PIBG, James Anthony.

Selesai berbuka puasa, program diteruskan dengan Solat Berjemaah, Solat Hajat UPSR, Solat Isyak yang diakhiri dengan Solat Terawih.

Sehingga kini, Sekolah Kebangsaan Kampung Tellian masih menumpang bangunan sekolah di Sekolah Kebangsaan Mukah. Sekolah tersebut dihuni oleh 222 orang murid, 20 guru, 3 kakitangan pelaksana, 6 orang pekerja swasta dan 153 orang ketua isi rumah dan waris.

Buat masa sekarang, projek pembinaan bangunan baharu SK Kampung Tellian tersebut sedang giat dilaksanakan dan dijangka dapat digunakan pada tahun 2020.

 

IFZAR JAMAIE … Sebahagian murid-murid Islam yang menerima sumbangan merakam gambar bersama Guru Besar, YDP PIBG, guru-guru dan ibubapa.