SIBU: Berusia 15 tahun, seorang gadis kelainan upaya hamil tujuh bulan setelah diperkosa teman lelakinya, seorang rakyat Indonesia.

Lebih malang, mangsa ‘hilang dara’ ketika pengsan, setelah meminum air soya yang diberikan lelaki terbabit, pada November tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, mangsa sebenarnya tidak menyedari dirinya hamil, malah tidak tahu telah ‘hilang dara’ kerana beranggapan tidak pernah melakukan hubungan seks dengan lelaki lain.

Mangsa yang juga penuntut tingkatan tiga di salah sebuah sekolah menengah di Hulu Lanang hanya tahu dirinya berbadan dua ketika menjalani pemeriksaan di sebuah klinik kesihatan di sini pada 21 Mei lalu.

“Dia menjalani pemeriksaan di klinik berkenaan dengan ditemani ibunya selepas mengadu sakit perut.

“Hasil pemeriksaan tersebut, pihak klinik mengesahkan mangsa hamil 25 minggu atau tujuh bulan.

“Hanya setelah itu, dia mengesyaki dirinya telah dirogol ketika pengsan tersebut.

Kata Stanley, siasatan awal polis mendapati mangsa yang juga pemegang kad OKU (masalah pembelajaran) mengenali seorang lelaki Indonesia terbabit sejak berpindah ke rumah neneknya pada Februari 2018.

“Mangsa telah tinggal bersama-sama neneknya setelah ibu bapanya bercerai,” ujarnya lagi.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan polis sedang giat mengesan suspek,” katanya.