DARO: Biarpun tidak mampu meluahkan dengan kata-kata namun keceriaan wajahnya sudah cukup menggambarkan kegembiraan seorang warga emas kelainan upaya (OKU) di Kampung Badong di sini.

Rumah Su’ut Mat,70, terletak di Kampung Badong adalah antara 46 rumah yang tersenarai dalam skim dibaikpulih Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (MRP-PPRMS) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.43 Daro.

Menurut penduduk, Rosli Mahdi, 42, Su’ut mendiami rumah itu berseorangan selepas kematian ibu, kakak dan abangnya sepuluh tahun lalu.

“Dia kini hidup sebarang kara dan hanya bergantung pada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Malah, rumah yang didiaminya sejak 20 tahun lalu mengalami kerosakan teruk dan tidak selamat untuk diduduki terutama di bahagian dapur,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Rosli berkata, Su’ut yang mengalami masalah pertuturan dan pendengaran bersyukur apabila wakil rakyat Daro menghulurkan bantuan melalui skim MRP-PPRMS.

Safiee (kiri) menunjukkan isyarat bagus bersama Su’ut (kanan) di Kampung Badong Daro. Kelihatan sama, Ketua Kampung, Haslimi Hassan dan Penghulu Daro, Yusuf Bakeri.

“Sudah tentu dia rasa gembira apatah lagi untuk menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang tiba,” katanya.

Selain kediaman Su’ut, dua lagi rumah di Kampung Badong turut tersenarai dalam skim berkenaan.

Kediaman terbabit dimiliki Rosli dan keluarganya serta rumah Jam Sat, 59, yang mempunyai seramai 23 orang cucu.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro, Safiee Ahmad berkata, setakat ini sebanyak 46 buah rumah di kawasan DUN berkenaan sudah dibaikpulih sepenuhnya.

“Jumlah itu termasuk rumah panjang di Sungai Sependam (Meradong), Sawai (Matu) dan Muara Lebaan (Meradong). Sasaran kita ialah untuk membaikpulih sekurang-kurangnya 100 buah rumah dalam fasa pertama.

“Pemberian skim ini merupakan sebahagian bukti keprihatinan kerajaan GPS untuk membela nasib rakyat terutama mereka yang kurang berkemampuan,” katanya.