KUCHING: Kerjasama antara Kerajaan Sarawak dan Huawei tidak terjejas meskipun syarikat telekomunikasi dari China itu berdepan dengan tekanan global.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan 5G di Sarawak dengan Huawei akan diteruskan.

“Kita akan teruskannya,” katanya ringkas kepada Suara Sarawak selepas menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) di sini, malam tadi.

Terdahulu, dunia dikejutkan dengan keputusan Amerika Syarikat (AS) mengumumkan penggantungan perkhidmatan Google sebagai salah satu aplikasi dalam telefon pintar Huawei.

Memetik laporan Reuters, hal tersebut merupakan tamparan terbaru bagi Huawei dalam usaha AS untuk menyenarai hitam syarikat teknologi itu di seluruh dunia.

Namun, perkhidmatan Google masih boleh diakses menggunakan telefon pintar Huawei menerusi lesen secara sumber terbuka (open source).

Pada April lalu, kerjasama strategik antara Kerajaan Sarawak dan Huawei Malaysia diperkukuhkan dengan pemeteraian Memoradum Persefahaman (MoU) bersama dengan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) dan SMA.

CENTEXS dan SMA adalah di bawah Kerajaan Sarawak untuk mereka meneruskan sokongan Agenda Transformasi Digital Negeri khusus dalam pembangunan bakat digital dan inovasi digital.

MoU tersebut telah ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani bersama Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS Syeed Mohd Hussien Wan Abdul Rahman dan Pengurus Besar SMA Dr Zaidi Razak mewakili Kerajaan Sarawak.

Manakala menandatangani bagi pihak Huawei Malaysia ialah Oliver Liu, XuChengxin dan Pengarah Huawei OpenLab Linxijiang sambil disaksikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang merupakan Pengerusi SMA.