SARIKEI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarikei mengagihkan lebih 200 pek bubur lambuk secara percuma kepada orang ramai menerusi Program Semarak Ramadan di sini, petang semalam.

Pengagihan bubur lambuk itu bermula pada jam 3.30 petang dan selesai diedarkan sejam kemudian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Mahmudin Narudin bersama beberapa pegawai dan anggota turut hadir mengagihkan bubur serta beramah mesra dengan orang ramai.

Program yang diadakan berhampiran tapak bazar Ramadan itu berlangsung meriah dan mendapat sambutan begitu baik daripada pengunjung.

Sehubungan itu, Mahmudin memberitahu, aktiviti bertujuan mengimarahkan Ramadan selain mengeratkan hubungan Bomba dengan masyarakat setempat.

Mahmudin (kanan) bersama pegawai dan anggota Bomba Sarikei mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai di Sarikei.

Menurutnya, program tersebut melibatkan aktiviti gotong-royong memasak bubur lambuk yang disertai seramai 37 anggota pelbagai pangkat bermula jam 8.00 pagi sebelum diagihkan pada jam 3.30 petang.

“Aktiviti ini memasak dan membungkus bubur diadakan di Balai Bomba Sarikei. Sejurus selesai, kita mengagihkannya kepada orang ramai.

“Kita berpuas hati dengan sambutan terhadap program ini dan sokongan padu masyarakat itu menjadi pembakar semangat kami untuk terus memberikan khidmat terbaik,” katanya kepada wartawan.

Dalam pada itu, beliau berharap program berkenaan dapat menyemarakkan lagi bulan Ramadan selain mempraktikkan amalan bersedekah yang dituntut dalam Islam.

“Kita amat harap program ini akan menjadi satu tradisi dalam kita mengeratkan lagi silaturrahim antara satu sama lain.

“Dengan kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua anggota yang menjayakan penganjurannya. Kita berharap dapat meneruskannya pada masa akan datang,” ujarnya.

Aktiviti memasak bubur lambuk diadakan di Balai Bomba Sarikei.