MAJLIS Perbandaran Sibu (MPS) dan Kuching City Jogger’s Club (CJC) menjemput orang ramai untuk menyertai Sibu Marathon 2019 edisi kedua pada 3 November di Wisma Sanyan.

Naib Pengerusi CJC Song Khoon Sin berkata mereka menyasarkan penyertaan 3,000 peserta untuk acara larian yang menawarkan hadiah wang tunai RM52,400.

“Kami turut berharap penyertaan peserta luar negara untuk menjadikan acara larian ini lebih menarik dan mencabar,” jelasnya ketika ditemui di Bilik Mesyuarat MPS petang semalam.

Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi MPS Rogayah Jamain, Kaunselor Anna Lau dan Kaunselor Donna Petrus Ngelai serta wakil penaja WTK Paul Ngu.

Acara larian dibahagikan kepada empat kategori iaitu 42.195 km (Full Marathon-FM), 21 km (Half Marathon-HM), 10 km dan 5 km.

Kategori larian Full Marathon dan Half Marathon terbuka untuk lelaki dan wanita terbuka dan lelaki dan wanita veteran, manakala kategori larian 10 km dan 5 km untuk lelaki dan wanita terbuka.

Sementara itu, hadiah wang tunai RM2,000 bakal menjadi milik johan semua kategori acara larian 42KM, tempat kedua RM1,500, tempat ketiga RM1,000 dan tempat keempat RM800.

Pemenang tempat kelima mendapat hadiah wang tunai RM600, tempat keenam RM500, tempat ketujuh RM400, tempat kelapan RM300, tempat kesembilan RM200, tempat kesepuluh RM150.

Hadiah wang tunai RM100 kepada pemenang tempat ke-11 hingga ke-20.

Untuk larian 21KM, johan akan memenangi wang tunai RM1,000, tempat kedua RM800, tempat ketiga RM600, tempat keempat RM500, tempat kelima RM400.Pemenang tempat keenam RM300, tempat ketujuh RM250, tempat kelapan RM200, tempat kesembilan RM150 dan tempat kesepuluh RM100. Hadiah wang tunai RM80 kepada pemenang tempat ke-11 hingga ke-20.

Kesemua hadiah wang tunai ditaja oleh WTK Holding Berhad.

Song berterima kasih kepada MPS atas penghormatan diberi kepada CJC untuk bekerjasama menganjurkan acara larian tersebut.

Orang yang berminat boleh mendaftar menerusi laman sesawang www.sibumarathon.com atau borang pendaftaran boleh didapati di lobi bangunan WTK di Jalan Bujang Suntong.

“Diskaun khas diberi kepada mereka yang mendaftar awal dari 23 April hingga 30 Jun iaitu RM85 untuk kategori 42 km, RM80 untuk 21 km, RM60 untuk 10 km dan RM40 untuk 5 km.

“Jika mereka mendaftar pada 1 Jun hingga 31 Ogos, kadar biasa RM110 untuk 42 km, RM90 untuk 21 km, RM80 untuk 10 km dan RM55 untuk 5 km.

“Mereka yang mendaftar lewat dari 1 hingga 30 September, RM150 untuk 42 km, RM130 untuk 21 km, RM100 untuk 10 km dan RM75 untuk 5 km,” jelasnya.

Sementara itu, Rogayah juga mengucapkan terima kasih kepada Pengarah Urusan WTK Holdings Bhd Dato Sri Patrick Wong yang menjadi penaja utama acara tersebut.

“Kami berterima kasih kepada CJC kerana datang ke sini dari Kuching untuk membantu menganjurkan acara ini.

“CJC berpengalaman dalam menjalankan acara larian maraton dan saya percaya ia tidak terkecuali untuk Sibu Marathon tahun ini,” ujarnya.