KUCHING: Seorang lelaki cedera selepas kereta dipandunya hilang kawalan dan merempuh pagar serta dinding kuarter pekerja Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas di sini.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat (bomba) Sarawak dalam kenyataan hari ini, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 6.14 pagi tadi.

Sebaik tiba di lokasi, didapati mangsa yang berusia 30-an tersepit dalam kenderaan jenis Nissan Terrano terbabit.

“Mangsa berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba menggunakan peralatan menyelamat dan terus dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) menggunakan ambulan HUS,” katanya.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang lelaki patah kedua-dua kaki selepas terlibat dalam kemalangan di Lorong 5A, Taman Sinjok, Batu 19 Jalan Kuching-Serian.

Mangsa yang menunggang motosikal terlibat dalam kemalangan kendiri sekitar jam 9.50 malam semalam dan dimasukkan ke zon kuning HUS.

Seorang lelaki yang patah kedua-dua kaki dibawa HUS selepas terlibat dalam kemalangan kendiri, semalam.

 

 

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam keretanya selepas merempuh pagar dan dinding kuarters pekerja SK Pendidikan Khas, pagi tadi.