KUCHING: Keunikan kaum Bidayuh dapat dilihat melalui perbezaan tiga dialek bahasa utama iaitu Bau-Jagoi, Biatah dan Bukar Sadong.

Terdapat juga dialek-dialek lain seperti Bianah, Pinyewa, Biperoh, Bisapug, Bisitang dan Selako Lara.

Menurut Pembantu Khas kepada Chong Chien Jen Abdul Aziz Isa, perbezaan dari segi dialek bahasa merupakan salah satu keunikan yang menjadi elemen penyatuan Kaum Bidayuh di Sarawak.

Abdul Aziz berkata, jika generasi muda Bidayuh malu untuk bertutur menggunakan bahasa ibunda, maka dikhuatiri akan pupus ditelan zaman.

Jelas Abdul Aziz, tradisi masyarakat Bidayuh juga turut diketengahkan dalam Rami Gawai Semeba yang menyaksikan para peserta Dayung Sangon dan Dari Nigap diajar untuk membuat atap rumbia, memarut kelapa, membungkus nasi dengan menggunakan daun baun dan sebagainya.

“Para peserta juga bermain permainan tradisional Bidayuh seperti moteir, melastik, menyumpit dan sebagainya.

“Ini adalah untuk mengingatkan generasi muda bagi menghargai tradisi dan mengenali asal usul nenek moyang mereka”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Dewan Komuniti Kampung Semeba sempena Rami Gawai Semeba (RGS).

Malam kebudayaan RGS itu dimeriahkan dengan tarian tradisional Kaum Bidayuh dari Daerah Lundu, Padawan, Bau, Serian dan Kampung Semeba.

Tarian tradisional Bidayuh membawa banyak makna iaitu untuk menyambut tetamu, menghalau semangat jahat atau kesakitan dan untuk menyembah padi atau membawa tuah.

Penari-penari tersebut dijem-put untuk memeriahkan malam kebudayaan RGS.