KEAMANAN berkait rapat dengan keimanan sebagai benteng kekuatan untuk mencipta dan membina rasa aman serta tenteram daripada segala gangguan sama ada di dunia atau akhirat.

Al-Quran mengungkapkan adanya kaitan antara aspek iman dengan rasa aman dalam kehidupan manusia.

Secara ringkas, penurunan al-Quran atau nuzul al-Quran berlaku dalam beberapa peringkat masa beransur-ansur selama 23 tahun lamanya.

Al-Quran mengandungi 114 surah dan susunannya ditentukan Allah SWT secara tauqifi.

Persoalan induk diterangkan secara silih berganti iaitu persoalan akidah terkadang digandingkan dengan persoalan hukum, sejarah umat terdahulu disatukan bersama nasihat, dorongan atau tanda-tanda kebesaran Allah di alam semesta serta penerangan masalah falsafah dan metafizika. Begitu juga dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan.

Al-Quran ialah manual kehidupan dan kitab petunjuk ke jalan sebaik-baiknya sebagaimana Allah SWT berfirman dalam al-Isra’: 9: “Sesungguhnya al-Quran ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus (jalan yang sebaik-baiknya).”

Justeru, menjadi tanggungjawab semua pihak mewujudkan keamanan serta keselamatan atas nama kepentingan agama, bangsa dan negara.

Oleh itu, pentingnya kesatuan dan saling bekerjasama dalam usaha membina, mewujudkan keamanan serta keselamatan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semasa Sambutan Nuzul al-Quran Peringkat Negeri Sarawak di Mukah kelmarin berkata, kehidupan bersandarkan kitab suci menjadi penyumbang kepada kestabilan negeri ini daripada segenap aspek.

Sementara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi kiriman di laman Twitter miliknya menyeru seluruh umat Islam supaya sama-sama menghayati peristiwa Nuzul al-Quran.

Al-Quran sejak zaman Rasulullah terbukti menjadi petunjuk dan diteladani dalam kalangan masyarakat di samping mengangkat martabat agama itu sendiri.

Dalam konteks Sarawak khasnya, al-Quran menjadi asas hidup walaupun terdiri daripada penduduk berbilang bangsa, kaum dan agama.

Abang Johari mengakui mendapat ilham daripada al-Quran ketika memimpin negeri ini.

Menurutnya, setiap peralihan pucuk pimpinan negeri turut dilihat berlaku dengan seaman yang mungkin.

Daripada aspek kepimpinan, ia turut diiktiraf oleh kalangan bukan Islam melalui kepimpinan sentiasa adil dan saksama terhadap rakyatnya.

Bahkan, dalam aspek ekonomi negeri juga terbuka luas sehingga dapat mempertingkatkan pendapatan ekonomi Sarawak.

Bagi memastikan keharmomonian dikecapi kekal lestari, rakyat Sarawak perlu menjadi umat contoh, dengan sentiasa menjaga diri dan mengangkat darjat agama.

Kerana prinsip itu, rakyat Sarawak dapat hidup bermuafakat kerana Kerajaan Sarawak sentiasa menjalankan tugas secara adil di antara Islam dan bukan Islam, terutama daripada sudut pembangunan.

Kerana keharmonian dan muafakat ini juga, Kerajaan Sarawak membina Lebuh Raya Pan Borneo serta jalan pesisir dari Telok Melano hingga ke Miri bagi merapatkan hubungan rakyat berbilang kaum menerusi jaringan jalan dan jambatan, dilengkapi kemudahan elektrik dan air.

Berkat doa semua rakyat, Kerajaan Sarawak memperoleh ilham dan kini mewujudkan satu dana sendiri untuk membangunkan prasarana yang dikehendaki oleh masyarakat, khususnya di kawasan pesisir.

Usaha ini mendorong pembukaan kawasan baharu dan pasti memberi rezeki tambahan dari sudut ekonomi.

Justeru, umat Islam khususnya di Sarawak diajak terus mengikuti, menghayati dan mengambil iktibar dari peristiwa Nuzul Quran dan memperoleh keberkatan dari-Nya.