SIBU: Gara-gara di bawah pengaruh dadah, seorang penjawat awam mengamuk di sebuah pejabat kerajaan di sini kelmarin.

Suspek dikatakan bertindak menumbuk dua rakan sekerjanya serta turut merosakkan harta benda kerajaan di dalam pejabat terbabit.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit turut mengesahkan kejadian menerusi kenyataan medianya, semalam.

“Suspek bertindak merosakkan barang-barang milik kerajaan di bahagian kaunter pejabat berkenaan.

“Selain itu, dua rakan sekerjanya turut cedera akibat dipukul oleh suspek,” katanya.

Menurut Stanley kejadian itu berlaku sekitar jam 7.30 malam.

Beliau memberitahu, tindakan suspek telah menyebabkan ke dua-dua rakan sekerja berumur 29 dan 27 tahun mengalami lebam di mata kiri dan seorang lagi mengalami luka di bahagian belakang kepala dan belakang badan.

“Kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Sibu untuk menerima rawatan namun tiada kecederaan serius dialami mereka,” ujarnya.

Difahamkan punca kejadian, kemungkinan disebabkan suspek tidak berpuas hati mengenai pembahagian tugasan yang diarahkan oleh pihak atasan.

Stanley berkata, suspek telah ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Sentral dan menjalani pemeriksaan air kencing.

“Kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 427/323 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan mendatangkan kecederaan,” tambah beliau.