KUCHING: Sejumlah 500 penunggang motosikal mengisi minyak percuma RM5 di Petronas Sungai Maong di sini, semalam.

Ia merupakan Program Pengisian Petrol Percuma pertama di Sarawak yang dianjurkan oleh Petronas bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Timbalan Menteri KPDNHEP Chong Chien Jen berkata, sumbangan tersebut adalah bersempena Gawai Dayak dan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.

“Hari ini kami memberikan minyak percuma RM5 kepada 500 penunggang motosikal terawal di sini (Petronas Sungai Maong).

“Kami mahu memberi sedikit bantuan kepada masyarakat untuk mengurangkan perbelanjaan mereka sempena perayaan yang akan datang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Pengisian Petrol Percuma, di sini semalam.

Tambahnya, program tersebut akan diteruskan pada 31 Mei ini, sehari sebelum Gawai Dayak di Petronas Batu 7 dan siri ketiga pada 4 Jun iaitu sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri di stesen Petronas Batu 8 1/2 pada jam 2.00 hingga 4.00 petang.

“Peruntukan itu adalah dana daripada MP saya. Saya tidak mahu memberi nasihat kepada sesiapa, kerana semua orang mempunyai cara sendiri untuk membantu mereka yang memerlukan,” jawabnya ketika ditanya sama ada beliau mahu memberi nasihat kepada wakil rakyat yang lain untuk mengikuti caranya.

Menurutnya, ini merupakan antara cara mereka untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan semasa sambutan perayaan.

Dalam hal berkaitan, beliau menasihatkan agar orang ramai yang menemui makanan rosak agar menyalurkan aduan dengan cara yang betul.

“Saya mahu aduan dibuat dengan saluran dan cara yang betul dan dibuat secepat mungkin, mengikut apa yang telah ditetapkan,” jelasnya.

Hadir sama Pengurus Jualan Runcit Petronas Sarawak Patrick Lenggang, Timbalan Pengarah KPDNHEP Sarawak Mohd Hanizam Kecheck, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Padungan Wong King Wei, Adun Pending Violet Yong serta Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii.